Umno dakwa PAS Kedah sukar cari pengganti Fadzil
Umno Kedah menyifatkan ura-ura mengenai usaha PAS meletakkan ahli dewan ulamanya, Datuk Dr Harun Din bertanding di negeri itu dalam pilihanraya umum akan datang, mencerminkan bahawa parti itu telah kehilangan keberkesanan kepimpinannya selepas
peninggalan
Allahyarham Datuk Fadzil Noor tahun lalu.
Umno Kedah menyifatkan ura-ura mengenai usaha PAS meletakkan ahli dewan ulamanya, Datuk Dr Harun Din bertanding di negeri itu dalam pilihanraya umum akan datang, mencerminkan bahawa parti itu telah kehilangan keberkesanan kepimpinannya selepas
peninggalan
Allahyarham Datuk Fadzil Noor tahun lalu.
"Bagi kita, langkah itu jelas menunjukkan bahawa PAS negeri pimpinan Ustaz Azizan Abdul Razak masih tidak mampu menjamin kejayaan PAS dalam pilihanraya umum akan datang," kata sumber-sumber yang rapat dengan Umno negeri.
Katanya, walaupun Azizan, yang juga pesuruhjaya PAS Kedah, kini menjadi naib presiden PAS, namun kewibawaannya tidak menyerlah jika dibanding dengan kedudukan PAS negeri semasa hayat Fadzil.
Dr Harun yang dicalonkan untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden PAS, telah menarik diri sehari sebelum Muktamar PAS di Kuala Lumpur. Jawatan itu kemudiannya dimenangi oleh naib presiden, Senator Hassan Shukri yang berjaya menewaskan seorang lagi naib presiden, Datuk Mustafa Ali.
Berikutan itu, timbul desas-desus bahawa Dr Harun akan dilantik sebagai
ketua penerangan
PAS pusat, dan kemungkinan besar dipilih bertanding di Kedah, bagi menerajui negeri itu seandaikan parti itu berjaya menawan negeri berkenaan dalam pilihanraya umum akan datang.
"Sebenarnya Ustaz Azizan kini berada dalam keadaan yang tidak selesa...walaupun beliau merupakan ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kedah, tetapi prestasinya jauh berbeza jika dibanding ketika Datuk Fadzil memegang jawatan itu," kata sumber-sumber kepada malaysiakini.
Katanya, walaupun Dr Harun dikenali ramai, tetapi peluangnya untuk menang di Kedah juga agak sukar kecuali beliau diletakkan bertanding di kawasan yang memang menjadi kubu kuat PAS.
Tamparan
"Itupun jika pemimpin-pemimpin PAS lain di Kedah bersedia memberi laluan untuk beliau bertanding di kawasan selamat. Tetapi dalam politik macam-macam boleh jadi, termasuklah dalam PAS," tambahnya.
Antara ahli Parlimen PAS Kedah ialah bekas ketua Pemuda PAS pusat, Mahfuz Omar (Pokok Sena), setiausaha agung PAS (Nasharuddin Mat Isa), Ustaz Azamuddin Taib (Baling) dan Mohamad Sabu (Kuala Kedah).
Menurut sumber-sumber itu, kalaulah benar ura-ura yang PAS akan melantik Dr Harun menjadi menteri besar sekiranya parti itu berjaya menawan Kedah, ia merupakan satu "tamparan" terhadap Azizan (
gambar
).
"Ia akan dianggap sebagai bukti bahawa Azizan, walaupun merupakan pesuruhjaya PAS Kedah, dan kini menjadi naib presiden PAS pusat, tidak mampu untuk dilantik mentadbir negeri berkenaan," tegasnya.
Menurut sumber-sumber itu, PAS Kedah sehingga hari ini masih dibayangi oleh kepimpinan Fadzil yang sukar dicari ganti.
"Dan kerana itu, amat sukar untuk Ustaz Azizan meletakkan dirinya sepertimana yang diharapkan oleh ahli-ahli PAS sendiri, yang masih belum lupa dengan kepimpinan Datuk Fadzil," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.