Komitmen PAS tidak berkurangan walaupun tidak menyebut 'Negara Islam'
Ahli Jawatankuasa PAS pusat, Dr Hatta Ramli menegaskan walaupun tanpa menyebut terminologi "Negara Islam" yang amat ditakuti oleh sesetengah pihak, ianya tidak sedikitpun mengurangkan komitmen PAS kepada Islam.
Ahli Jawatankuasa PAS pusat, Dr Hatta Ramli menegaskan walaupun tanpa menyebut terminologi "Negara Islam" yang amat ditakuti oleh sesetengah pihak, ianya tidak sedikitpun mengurangkan komitmen PAS kepada Islam.
"Lebih meyakinkan ialah langkah melaksanakan hukum-hukum Islam di negeri yang ditadbir oleh PAS/Barisan Alternatif (BA). Ini lebih penting dari retorik sesetengah pengkritik," tegas beliau dalam tulisannya dalam Harakah online semalam.
"Terengganu terus digelar Terengganu tanpa perlu ditambah Negeri Islam di pangkal atau di hujung namanya. Seperti yang disebut oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar Mukatamar ke 49 baru-baru ini yang penting ialah ''substance'' bukan "form", "tambah beliau yang juga setiausaha politik kepada presiden PAS.
Merujuk kepada kepada temubual Naib Presiden PAS, Datuk Mustafa Ali dalam rancangan popular HardTalk terbitan BBC minggu lalu yang dianggap oleh sesetengah pihak menonjolkan percanggahan di antara Mustafa dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Isu Negara Islam, beliau berkata:
"Sebarang percanggahan boleh diselesaikan dengan merujuk kepada tujuan yang dilembagakan di atas. Cikgu Pa (Mustafa) berjaya meletakkan di hadapan kita dan seluruh dunia dasar dan tujuan PAS ini. Inilah juga yang sentiasa disampaikan oleh setiap pemimpin PAS."
Jangan dikelirukan
Tegasnya lagi tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan dasar PAS iaitu Islam, dan tiada sesiapa boleh meragui tujuan penubuhan Parti Islam SeMalaysia iaitu memperjuangkan wujudnya sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah; dan mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara
Menurutnya lagi, perjuangan PAS untuk menegakan Islam di negara ini tidak akan sampai ke tahap Afghanistan dan Iraq yang memerlukan penggubalan perlembagaan baru.
Katanya, PAS tidak akan dikelirukan oleh mana-mana pihak dan ia akan meneruskan hasrat untuk membina negeri Islam model di negeri-negeri yang diperintahnya.
"Manakala kerjasama untuk memulihkan imej negara dan membentuk Malaysia Baru bersama rakan-rakan dalam Barisan Alternatif akan menjadi teras kempennya dalam piliharaya umum akan datang," tambahnya.
Tegasnya, inilah pendekatan yang mula digeruni oleh lawan tetapi mendapat "sokongan kawan-kawan yang sekian lama mengidamkan perubahan dalam negara ini".
"Untungnya kerana sistem federalisme mengizinkan PAS berbuat demikian. Maka jelaslah bahawa PAS sentiasa mengekalkan idealisme, tidak kira pemimpin mana yang menyuarakannya," tambah beliau.
Mengenai Umno, beliau berkata, di satu pihak mereka mahu PAS tidak mengenengahkan gagasan Negara Islam dan di pihak yang lain mereka mahu PAS dibubarkan saja apabila mengenepikan Negara Islam.
"Pihak pertama diterajui oleh DAP dan yang kedua oleh Umno. Dalam hal ini, kelihatannya DAP lebih konsisten dengan tuntutannya, dan kita memahami kenapa, manakala Umno berkecamuk.
"Pada satu saat Umno menolak hasrat PAS mengenai Negara Islam dan pada saat lain PAS pula disuruh bubar jika tidak lagi memperjuangkan Negara Islam," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.