Pemuda Umno di bawah kepimpinan Datuk Hishammuddin Hussein gagal bertindak sebagai pencetus, tetapi sebaliknya hanya bertindak sebagai pengikut dan penurut tanpa visi, demikian menurut hasil tinjauan pendapat oleh lamanweb proUmno - Umno Reform .

Menerusi tinjauan pendapat yang dibuat melalui e-mel itu, kebanyakan mereka menegur kepimpinan Hishammuddin yang dianggap tidak agresif dalam menjadikan Pemuda Umno sebuah pergerakan yang mantap memperjuangkan isu-isu rakyat dan menjadi lidah penyambung bicara rakyat.

Lamanweb itu juga sedang menjalankan tinjauan pendapat yang sama mengenai kepimpinan naib ketua Pemuda Umno Datuk Aziz Sheikh Fadhir dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo yang disebut-sebut akan bertanding merebut jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

Menurut hasil tinjauan pendapat yang disiarkan di lamanweb tersebut, sebahagian besar mereka berpendapat Hishammuddin hadir hanya sebagai pentadbir, tanpa arah perjuangan yang jitu di mana kebanyakan programnya lebih kepada kutipan wang bagi membantu badan atau pertubuhan, yang tidak meninggalkan kesan yang dapat mengakui kredibilitinya.

Sebilangan lagi berpendapat Hishammuddin gagal menunjukkan keutuhannya sebagai seorang pemimpin kerana mendakwa pergerakan itu setakat ini tidak pernah membantah atau mencadangkan secara kritis isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat khususnya Melayu secara keseluruhan.

Sebaliknya, mereka berpendapat, beliau hanya membawa Pemuda Umno untuk menerima dan tidak membantah - satu sikap yang menurut mereka membuat pergerakan itu "lebih lemah dari Puteri Umno yang berani bertindak untuk kepentingan pergerakan itu dan rakyat secara keseluruhan".

Pertalian keluarga

Sebilangan pengirim e-mel itu berpendapat Hishammuddin setakat ini kurang menyerlah kerana beliau sebenarnya bergantung kepada asal-usulnya dan kesetiaan rakan-rakannya tetapi tidak kepada kekuatan jati diri, krisma yang tinggi dan ini adalah masalah utamanya.

Bagaimana ada juga pengirim e-mel yang berpendapat Hishammuddin seharusnya mendapat tempat di peringkat yang lebih tinggi dengan menduduki kerusi naib presiden parti bagi menyuntik kepimpinan baru dan segar dalam Umno.

Sementara itu, ada yang menggesa ahli pergerakan itu supaya tidak melantik mereka yang hanya hadir kerana pertalian keluarga tetapi memilih "mereka yang berani, mempunyai visi dan melaksanakan sesuatu dengan impak jangka panjang".

Hishammuddin merupakan anak kepada perdana menteri Malaysia ketiga, Tun Hussein Onn dan sepupu kepada naib presiden Datuk Najib Tun Razak.

Manakala seorang pengirim e-mel melahirkan "kerinduannya" terhadap zaman kegemilangan pemuda seperti di zaman Singa Umno, Datuk Syed Jaafar Albar dan Datuk Harun Idris, yang menurutnya, berani menentang arus walaupun menghadapi risiko terhadap karier mereka sendiri.

Kedua-dua pemimpin tersebut, katanya, berpegang kepada prinsip diri, keberanian melakukan perubahan dan bertanggungjawab dan inilah sikap yang perlu ada pada kepimpinan Pemuda Umno sekarang.

Menongkah arus

Seorang lagi pengirim e-mel berpendapat, memandangkan jawatan ketua Pemuda kebiasaannya dijadikan alat pengukur untuk menerajui negara di masa depan, maka seharusnya penjawatnya hendaklah seorang yang berkarisma, pintar menjanakan generasi muda ke arah kecemerlangan.

Katanya, adalah suatu kewajipan supaya ketua pemuda mempunyai visi untuk memajukan orang Melayu agar dapat bersaing dengan bangsa-bangsa yang lain.

Sebahagian lagi berpendapat Pemuda Umno menjadi terlalu layu dan takut melakukan kesalahan manakala Hishammuddin pula "lebih menerima apa sahaja keputusan kepimpinan tertinggi dan menjadikan prinsip jangan menongkah arus sebagai cara mahu naik dalam politik".

Bagaimanapun, ada juga yang berpendapat bahawa Hishammuddin telah banyak menempah kejayaan, termasuk masalah Suqiu dan berjaya menyatukan semula Pemuda Umno ketika pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan dan parti.

Bagaimanapun, seorang lagi pengirim e-mel menolak pandangan itu dengan menegaskan bahawa tiada ada satu perlaksanaan yang dibuat oleh Hishammuddin yang melayakkan beliau mendapat kredit penyatuan Pemuda Umno sewaktu pemecatan Anwar.

Sebaliknya, kata beliau, Pemuda Umno sehingga ke hari ini masih bercakaran antara sesama akibat kepimpinan Hishammudin yang lemah dan tidak berwibawa.