Umno dakwa PAS Kedah berpecah kerana Harun Din
Umno Kedah mendakwa parti itu kini semakin selesa untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang selepas usaha pihak PAS pusat untuk membantu ketua penerangannya, Datuk Dr Harun Din bertapak di negeri ini dikatakan tidak mendapat sambutan di peringkat akar umbi.
Umno Kedah mendakwa parti itu kini semakin selesa untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang selepas usaha pihak PAS pusat untuk membantu ketua penerangannya, Datuk Dr Harun Din bertapak di negeri ini dikatakan tidak mendapat sambutan di peringkat akar umbi.
Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Umno Kedah, ura-ura melantik Dr Harun menjadi menteri besar Kedah jika parti itu menang dalam pilihanraya umum akan datang, telah menjejaskan peluang PAS untuk menawan negeri itu.
"Tindakan itu mencerminkan kepimpinan tertinggi PAS pusat kurang yakin dengan kemampuan pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Azizan Razak untuk menerajui negeri itu sekiranya parti itu menang. Ini dikatakan tidak disenangi oleh penyokong setia beliau," katanya.
Azizan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sala dengan majoriti 2,621 undi dalam pilihanraya umum lalu. Beliau juga merupakan ketua pembangkang di DUN Kedah.
Menurut sumber-sumber itu, walaupun Azizan memenangi jawatan naib presiden PAS dalam muktamar parti itu baru-baru ini, tetapi pemilihan itu dibuat oleh para perwakilan parti, dan tidak semestinya selari dengan selera kepimpinan PAS pusat.
Sebaliknya, kata sumber-sumber itu, di kacamata kepimpinan PAS pusat, Dr Harun dilihat sebagai seorang yang lebih berwibawa daripada Azizan.
Majoriti dua pertiga
"Malah, kami mendapat tahu, usaha untuk mempopularkan Dr Harun di Kedah, tidak disenangi oleh para penyokong setia Ustaz Azizan. Ada yang beranggapan apa yang berlaku seperti kata perpatah: lembu punya susu, sapi punya nama," tambahnya.
Menurut sumber-sumber itu lagi, perkembangan itu memperlihatkan bahawa usaha Ustaz Azizan memimpin PAS Kedah sehingga berjaya menafikan majoriti dua pertiga bagi kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dalam 1999, seperti tidak dihargai.
PAS mempunyai 12 kerusi negeri, Keadilan (1) manakala baki baki 23 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN). PAS turut memenangi 8 Parlimen dalam pilihanraya umum lalu, tetapi tewas kerusi Parlimen Pendang dalam pilihanraya kecil tahun lalu.
Kedah tidak mendapat tambahan kerusi negeri dan Parlimen dalam proses persempadanan semula kawasan pilihanraya yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) baru-baru ini. Oleh itu, kerusi negeri dan Parlimen di Kedah, masing-masing kekal pada 36 dan 15 kerusi.
Persempadan semula itu, menyebabkan sebahagian besar kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang merupakan kubu kuat PAS kini terjejas apabila dipecahkan, merangkumi kawasan baru.
Misalnya, sebahagian kawasan Parlimen Pokok Sena, yang kini diwakili Ketua Dewan Pemuda PAS, Mahfuz Omar, sudah dipecahkan dan kini diperluaskan merangkumi sebahagian kawasan bandar Alor Star.
Manakala bagi kawasan Parlimen Kuala Kedah pula, yang kini diwakili Ahli Majlis Tertinggi PAS, Mohamad Sabu, kini merangkumi sebahagian daripada kawasan Alor Merah.
Peluang cerah
Persempadan semula kawasan Parlimen Yan yang diwakili Setiausaha Agung PAS, Nasharuddin Mat Isa juga menjejas sokongan kuat yang diperolehi parti itu sebelum ini.
Menurut sumber-sumber itu lagi, pihaknya mendapat tahu, Dr Harun dijangka diletakkan bertanding di kawasan Sala, yang dianggap kawasan selamat, berikutan jumlah majoriti besar yang diperolehi oleh Azizan dalam pilihanraya umum lalu
Manakala Azizan pula, katanya, dijangka diletakkan bertanding bagi kerusi Parlimen, dengan alasannya kedudukan beliau sekarang sebagai naib presiden PAS memerlukan khidmatnya di peringkat pusat.
"Bagaimanapun, kita percaya, semua itu dilakukan untuk memberi laluan kepada Dr Harun bertapak di Kedah. Bagaimanapun, tinjauan kami mendapati Dr Harun menghadapi kesukaran untuk menarik sokongan penyokong setia Ustaz Azizan.
"Bagi Umno Kedah, ini merupakan perkembangan yang baik bagi kami dalam membuat persediaan menghadapi pilihanraya umum akan datang," tambah sumber-sumber itu.
Menurutnya, pengalaman pilihanraya lalu menunjukkan kekuatan sesebuah parti itu tidak semestinya menjamin kemenangan sekiranya ahli-ahli di peringkat akar umbi tidak puashati dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin peringkatan atasan.
"Umno Kedah sudahpun melalui pengalaman yang sama sebelum ini...nampaknya kali ini giliran PAS pula...," tegasnya lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.