PAS banyak menghabis masa pemerintahannya di Kelantan dan Terengganu dengan cuba melakukan perkara-perkara yang di luar bidangkuasanya sebagai kerajaan di kedua-dua negeri berkenaan, kata ahli Biro Agama Umno, Datuk Nakhaie Ahmad.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa penerangan Umno pusat, mendakwa, sehingga hari ini PAS tidak memanfaatkan kuasanya sebagai kerajaan negeri untuk memajukan Kelantan dan Terengganu menjadi sebuah negeri Islam yang mahu diperjuangkan parti itu selama ini.

Sebaliknya, kata beliau, pemimpin PAS lebih gemar mencipta pelbagai istilah, dengan mengatakan parti itu tidak akan menubuhkan sebuah negara Islam teokratik , tetapi sebaliknya mahu mewujudkan sebagai negara Islam yang berlandas demokrasi.

Sebelum ini, setiausaha agung PAS, Nasharuddin Mat Isa menegaskan parti itu tidak mungkin dan tidak sekali-kali akan membentuk sebuah kerajaan negara Islam yang teokratik jika diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan selepas pilihanraya umum akan datang.

Sebaliknya, Nasharuddin mengulangi bahawa PAS akan menubuhkan sebuah kerajaan yang demokratik bersama rakan-rakan parti yang bersamanya, sepertimana yang terbukti di Kelantan dan Terengganu.

Mengulas lanjut, Nakhaie berkata: "Pemimpin PAS kini begitu gemar mencipta pelbagai istilah...dalam tempoh satu jam, mereka boleh mencipta pelbagai istilah mengenai negara Islam. PAS sepatutnya memanfaatkan sepenuhnya kedudukannya sebagai kerajaan negeri di Kelantan dan Terengganu, untuk melaksanakan apa yang mereka laung-laungkan selama ini.

"Sebaliknya, pemimpin PAS lebih banyak bercakap untuk melaksanakan perkara-perkara yang berada di luar bidangkuasa parti itu sebagai kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu," kata Nakhaie yang merupakan bekas naib presiden PAS yang keluar dari parti itu pada tahun1988.

Berjihad

"Bidangkuasa yang ada tak buat...asyik nak rebut benda-benda di luar bidangkuasa mereka. Sepatutnya, gunalah masa yang ada untuk merancang Islam yang macam mana yang hendak dilaksanakan...susun keutamaannya...

"Malah, Nabi (Muhammad) SAW pun tak bagi nama negara Islam...orang yang kemudian yang bagi nama darul Islam...ahli fiqah terkemudian...termasuklah PAS," tambahnya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Katanya, PAS hendaklah menggunakan sepenuhnya kedudukannya sebagai kerajaan negeri mengikut bidangkuasa yang padanya bagi memenuhi tanggungjawabnya kepada Islam dan umat Islam amnya.

"Apa yang perlu dibuat, tidak dibuat, seperti merancang untuk menyedia peluang pekerjaan untuk rakyat kerana kemiskinan itu adalah suatu yang tidak diingini. Di bidang pendidikan pula, rancang betul-betul pendidikan Islam, jelaskan konsep ilmu Islam yang merangkumi aspek iktisas seperti kejuruteraan dan sebagainya," tambahnya.

Menurutnya, ilmu itu perlu dikembangkan tetapi pada masa yang sama, kerajaan negeri perlu mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka.

"Sebagai kerajaan, PAS perlu membuat perancangan ekonomi yang mantap mengikut sumber-sumber yang ada...walaupun terhad, melalui perancangan yang betul, ianya boleh menjana pelbagai aktiviti ekonomi...jangan asyik tertumpu kepada aktivi tebang balak sahaja.

"Mesti ada aktiviti ekonomi, itu wajib. Allah menyuruh berjihad dengan hartabenda dan diri...berjihad dengan harta benda adalah di bidang ekomomi.

"Manakala berjihad dengan diri pula, bukanlah mati syahid, tetapi meningkat diri menjadi manusia yang menguasai ilmu dan mahir dalam pelbagai bidang kehidupan bagi menguat agama Islam serta memaju dan menjayakan umatnya," tegas beliau.

Jika tidak, tegasnya, PAS akan menjadi sepertimana kata pepatah 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran'.