Hudud: Zaid Ibrahim tidak sendirian
Sebilangan pemimpin Umno di peringkat bahagian menyokong tindakan timbalan pengerusi Umno Kelantan Datuk Zaid Ibrahim menfailkan petisyen terhadap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu yang didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Sebilangan pemimpin Umno di peringkat bahagian menyokong tindakan timbalan pengerusi Umno Kelantan Datuk Zaid Ibrahim menfailkan petisyen terhadap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu yang didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Selasa lalu, Zaid membuat permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mengemukakan petisyen bagi mengisytiharkan Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 tidak sah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, Zaid juga pernah mengemukakan petisyen yang sama terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan pada Jun tahun lalu, tetapi kes itu sehingga ini masih belum didengar oleh mahkamah.
"Mungkin sebagai seorang peguam, Datuk Zaid lebih memahami perkara itu dan bertindak mengemukakan petisyen berkenaan di Mahkamah Persekutuan," kata beberapa pemimpin Umno bahagian.
Bagaimanapun, mereka mengakui isu hudud merupakan soal yang amat sensitif di kalangan orang Melayu, kerana sebarang usaha menentang pelaksanaannya, boleh membuat mereka dianggap sebagai menentang hukum Allah.
"Kerana itulah, kita menegaskan bahawa ianya hukum hudud ciptaan PAS, dengan mengetengahkan beberapa kecacatannya, sebagai bukti yang ianya bukan hukum hudud Allah," tegas salah seorang daripada mereka.
Katanya, ini termasuk dakwaan Zaid sebelum ini bahawa liwat bukan satu kesalahan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan, jika ianya dilakukan terhadap isteri.
Laporan polis
Berikutan itu Dewan Pemuda PAS Kelantan telah membuat laporan polis terhadap Zaid yang didakwa cuba mempertikaikan undang-undang yang sah diluluskan oleh Sultan Kelantan serta diwartakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, dan dengan itu melanggar Fasal 72 dan Fasal 73 Perlembagaan Malaysia.
Mereka juga mendakwa, kenyataan Zaid itu melanggar Fasal 121 dan Fasal 128 Perlembagaan Malaysia dengan merampas bidangkuasa badan judisiari dalam mentafsirkan enakmen/undang-undang tanpa mempunyai kuasa dan kebenaran yang sah.
Mereka turut mendakwa yang Zaid cuba memfitnah pemimpin dan Kerajaan Negeri Kelantan, dengan menuduh bahawa masa depan rakyat Kelantan akan gelap jika mempercayai PAS dan pemimpin kerajaan negeri itu mengamalkan pemerintahan autokratik atau diktator dengan menggunakan agama serta mengembangkan cara pemerintahan diktator.
"Walaupun Zaid kelihatan seperti bersendirian, tetapi kita percaya, ahli-ahli Umno berdiri teguh di belakangnya timbalan pengerusi Umno Kelantan itu," tegas seorang lagi pemimpin Umno bahagian.
Dalam petisyennya itu, Zaid mendakwa kedua-dua enakmen tersebut tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan kerana mengandungi peruntukan-peruntukan di luar bidang kuasa kerajaan negeri sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Katanya, ini kerana perbuatan yang hendak dikenakan hukuman mengikut kedua-dua enakmen tersebut, adalah perbuatan yang boleh dihukum di bawah undang-undang persekutuan.
Enakmen tersebut telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 8 Julai tahun lalu, dan telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu.
Sehubungan itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mewartakan enakmen tersebut sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bersara hujung bulan ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.