BA: Pembahagian kerusi di lima negeri selesai
PAS dan Keadilan telah mencapai kata sepakat berhubung pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di lima negeri yang bakal ditandingi calon Barisan Alternatif (BA) dalam pilihanraya umum akan datang.
PAS dan Keadilan telah mencapai kata sepakat berhubung pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di lima negeri yang bakal ditandingi calon Barisan Alternatif (BA) dalam pilihanraya umum akan datang.
Ketua Dewan Pemuda PAS pusat (DPP), Salahuddin Ayub berkata, proses pembahagian kerusi bagi negeri Johor, Terangganu, Kelantan, Perlis dan Perak sudah selesai manakala di negeri-negeri lain hampir selesai.
BA dianggotai oleh parti PAS, dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan).
"Konsep perbincangan dalam BA telah diputuskan oleh majlis presiden. Asasnya ialah kefahaman...ada tempat di mana PAS ada jentera kuat, begitu juga dengan Keadilan.
"Tetapi walaupun tidak ada jentera kuat, kita tidak boleh nafi kekuatannya....semua keadaan kita ambil kira dalam menentu dan menyelesaikan pembahagian kerusi terbabit," katanya dalam majlis meraikan wartawan tempatan di Markas PAS di Taman Melewar, Gombak, baru-baru ini.
Salahudin juga memberitahu yang PAS akan turut bertanding di tujuh atau lapan kerusi Parlimen dan negeri di Sabah.
Ditanya sama PAS yakin dengan kekuatannya di Sabah, beliau berkata: "Setiapkali kita meletakkan calon, kita yakin untuk menang berdasarkan kajian yang kita buat."
Turun padang
Sambil meramalkan kemungkinan pilihanraya umum diadakan serentak dengan pilihanraya negeri Sabah, Sallahudin berkata, semua jentera Pemuda negeri dan kawasan sudah bersiap sedia untuk menghadapinya pada bila-bila masa sahaja.
"Melalui Pemuda BA, saya sudah berbincang dengan Ezam Mohd Nor (Ketua Pemuda Keadilan) untuk turun padang bagi menyampaikan maklumat yang perlu diketahui rakyat," tambahnya.
Menurutnya, tenaga Pemuda PAS kini berada di tahap maksima untuk merealisasikan hasrat parti itu untuk memerintah Malaysia melalui proses demokrasi selepas pilihanraya umum akan datang.
Mengenai halatuju kepimpinan baru Pemuda PAS, Salahuddin berkata dewan itu akan menjadi golongan pendesak serta memberi kritikan untuk memastikan perjuangan parti tidak terpesong dari landasan sebenarnya.
Di samping itu, katanya, Pemuda PAS juga akan meneruskan peranannya sebagai 'sumber' kepimpinan parti di mana 60 peratus barisan kepimpinan parti itu hari ini pernah memimpin pergerakan itu, termasuk naib presidennya, Datuk Mustafa Ali pada 1975-87.
"Saya mahu meneruskan tradisi ini untuk melahirkan kepimpinan yang boleh dilihat rakyat, bukan setakat memimpin PAS, tetapi memimpin rakyat dan negara juga.
Ulama muda
"Kami mahu melahirkan ulama pemuda, aktivis muda kontemporari, yang boleh menyelesaikan masalah semasa... Kerana itulah, saya menekankan konsep kepimpinan serba-boleh dalam menghadapi cabaran masakini," tegas Salahuddin.
Menurutnya lagi, ini selaras dengan hasrat Pemuda PAS dalam membantu dan mendokong hasrat parti untuk menubuhkan sebuah negara Islam yang demokrasi dan kontemporari.
Ditanya sama ada usaha Pemuda PAS untuk melahirkan lebih ramai ulama muda, akan menutup peluang kepada mereka yang tidak berpendidikan agama untuk turut aktif, Sallahuddin berkata:
"Pemuda memperjuangkan institusi kepimpinan ulama, bukan ulama individu. Zaman berubah, jadi kita perlu menyediakan barisan ulama muda yang kontemporasi, bukan yang setakat membaca kitab atau memberi kuliah, tetapi ualama yang boleh memimpin, dan dapat menguruskan parti."
Sehubungan itu, katanya, sebuah akademi latihan kepemudaan PAS, telah ditubuhkan di Kelantan untuk melahirkan ulama muda ini, yang dalam jangka panjangnya, akan mengganti ulama lama dalam PAS.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa usaha itu adalah bertujuan untuk memperkasakan lagi kepimpinan ulama muda, tanpa sebarang hasrat untuk mengetepikan golongan lain (bukan berpendidikan Islam).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.