Orang Melayu perlu insaf: Khir Toyo
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo bimbang sindrom kebergantungan orang Melayu kepada kerajaan akan berterusan kerana hingga sekarang penawarnya masih belum ditemui.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo bimbang sindrom kebergantungan orang Melayu kepada kerajaan akan berterusan kerana hingga sekarang penawarnya masih belum ditemui.
Katanya, budaya kebergantungan orang Melayu kepada kerajaan terutamanya di dalam bidang perekonomian merupakan antara kesan negatif Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang paling utama.
"Jika ada Melayu yang dilahirkan hari ini pandai tetapi mereka tidak cerdik menentukan masa depan mereka maka ia adalah produk yang terbit dari budaya 'spoon feeding' yang sedia wujud," tegas beliau yang juga exco Pemuda Umno Malaysia.
Beliau menganalogikan budaya itu sebagai orang yang ditimpa kemalangan dan terpaksa memakai tongkat, namun apabila telah sembuh sepenuhnya, ia masih mahu menggunakan tongkat.
"Ini menyebabkan, kalau dulu ketika masih cedera, tongkat menjadi pembantu kepadanya, namun apabila telah sembuh, tongkat bertukar pula menjadi penghalang kepadanya," tegas beliau dalam tulisannya yang memaparkan pandangan kritikalnya mengenai orang Melayu, dalam akhbar Berita Harian hari ini.
Orang Melayu, kata beliau, biasanya jarang berfikir mengenai akibat daripada sesuatu perbuatan atau rancangan yang dilaksanakan.
Fikir kesannya
"Kita menggubal dan melaksanakan DEB tetapi kita tidak pernah merancang bagaimana menangani produk DEB. Kita merangka dan melaksanakan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam tetapi kita tidak terfikir kesannya pada hari muka terhadap arena siasah negara," tambahnya.
Oleh itu, tegasnya, adalah lebih baik, sebelum dirangka dan dilaksanakan perancangan baru bagi menangani dilema Melayu moden, perlu juga difikirkan kesannya terhadap kemampuan orang Melayu menjadi bangsa yang setaraf dengan bangsa-bangsa lain di dunia.
Jika tidak, tegas Dr Mohd Khir, bangsa Melayu akan menjadi bangsa yang terperangkap dalam dilema ciptaannya sendiri.
Beliau juga melahirkan rasa bimbangnya terhadap kegagalan orang Melayu mempunyai keyakinan terhadap tahap keIslaman mereka sendiri.
"Untuk memuaskan hati mereka bahawa mereka mengikuti ajaran Islam yang sebenar, mereka mengambil contoh umat Islam lain di dunia, terutama di Afrika Utara dan Asia Barat bagi menjadi tanda aras keIslaman mereka. Ini kerana diakibatkan faktor sejarah dan tradisi," tegasnya.
Menurutnya lagi, walaupun DEB melahirkan Melayu berpendidikan tinggi serta bertaraf hidup baik, tetapi mereka tidak berfikiran terbuka, progresif, berlapang dada serta mampu menggunakan inteleknya "dari membenarkan emosi menguasai dirinya di dalam kehidupan beragama".
Muslim progresif
Sebaliknya, tegas beliau, DEB telah melahirkan golongan ekstremis agama yang jumud serta sama sekali tidak memahami ciri-ciri kemajmukan negara mereka sendiri, Malaysia.
Menurutnya, Muslim progresif adalah mereka yang menghayati ajaran Islam tulen dan tidak mengelirukan antara yang furu' dan yang usul, serta sentiasa mencari jalan untuk mengukuhkan persaudaraan saudara seakidah, sekalipun berbeza pendapat tentang soal yang titik-bengit.
Di samping itu, katanya, orang Melayu hari ini juga mengalami dilema politik kerana politik bagi mereka bukan setakat alat bagi memilih kerajaan yang terbaik untuk mengurus masalah rakyat tetapi ia adalah alat survival bangsa.
Katanya, ini kerana sejak kemerdekaan negara, politiklah satu-satunya bidang yang dikuasai oleh Melayu dan melalui kuasa politik orang Melayu membuka jalan bagi menyertai bidang ekonomi di samping melaksanakan pembaikan sosial.
"Namun hari ini, disebabkan pengaruh ideologi asing, politik bukan lagi setakat alat bagi mencapai matlamat yang lebih besar dan murni tetapi kuasa politik sudah menjadi satu matlamat akhir.
"Politik orang Melayu pra-merdeka adalah politik penyatuan tetapi politik pasca merdeka orang Melayu adalah politik perpecahan yang amat kritikal sehinggakan ia mengancam survival umat Melayu," tambahnya.
Tegasnya, kejayaan mencapai kemerdekaan, kemakmuran negara, serta kejayaan DEB melahirkan Melayu berpendidikan tinggi serta berkelas menengah, mengakibatkan bangsa Melayu semakin selesa dan alpa.
Akibatnya, tegas Dr Mohd Khir, orang Melayu percaya bahawa mereka telah selamat dan mampu mempunyai perbezaan pendapat yang memecahbelahkan bangsa.
"Dilema sosioekonomi, pemikiran agama dan politik orang Melayu ini adalah cabaran generasi ahli politik Umno pasca merdeka dan pasca Malaysia untuk ditangani.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.