Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berharap Perdana Menteri baru Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan memberi perhatian terhadap soal genjatan politik Melayu , seiring dengan agenda pembangunan yang lain, dalam usaha merealisasikan penyatuan umat Melayu/Islam di negara ini.

"Kita yakin, parti-parti politik Melayu di Malaysia tidaklah terlalu emosional jika soal ini ditangani secara hikmah dan secara bermesyuawarah," kata Presiden Abim, Ahmad Azam Abdul Rahman, ketika ditanya harapan Abim kepada perdana menteri Malaysia yang baru.

Abdullah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang kelima Jumaat lalu bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersara selepas 22 tahun memerintah.

"Harapan kita supaya soal penyatuan ummah, soal kedamaian, soal genjatan politik, harus menjadi agenda utama, seiringan dengan yang lain-lainnya.

"Saya tidak nampak pilihanraya sebagai penyelesaian terbaik, kerana kita nampak realitinya, umat inginkan pendamaian, cuma pemimpin parti kena mempunyai iltizam politik yang tinggi," tambahnya kepada malaysiakini .

Sebelum ini pernah terdapat usaha untuk mengadakan dialog perpaduan Melayu di antara Umno dan PAS. Bagaimanapun, usaha itu gagal di tengah jalan, selepas PAS mengenai syarat-syarat, termasuk kerajaan pusat mesti memulangkan royalti minyak kepada kerajaan PAS Terengganu.

Konfrantasi

Presiden Umno, Dr Mahathir dan presiden PAS, Datuk Fadzil Nor juga pernah berucap di atas satu pentas sewaktu menghadiri program menyokong perjuangan rakyat Palestin anjuran bersama Abim dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mengulas lanjut, Azam berkata, isu-isu yang membabitkan umat Melayu/Islam tidak mungkin ditangani secara politik konfrantasi, tetapi hanya boleh diselesaikan secara mesyuawarah.

"Kita pernah melihat bagaimana pendekatan konfrantasi menjadikan orang melayu semakin berpecah,...kedua-dua belah pihak menjadi ekstrim - yang menyokong tidak memberi ruang kepada yang membangkang, begitu jugalah sebaliknya.

"Tetapi kita juga telah melihat bahawa mesyuawarah dan dialog secara ikhlas, akan meredakan ketegangan politik orang Melayu," tambahnya.

Katanya, harapan Abim itu bersandarkan kepada hakikat bahawa Abdullah merupakan perdana menteri Malaysia yang pertama yang mendapat pendidikan agama secara formal.

"Yang tidak formal...tidak secara langsung, memang banyak, tetapi secara formal, ada ijazah dalam pengajian Islam, dengan latarbelakang datuk dan ayah daripada tradisi kreluarga ulama.

Duduk semeja

"Ini memberi harapan yang tinggi bahawa soal-soal agama akan diberi perhatian secara mendalam dan secara bersungguh-sungguh, memandangkan secara umumnya, umat di seluruh dunia semakin kuat berpegang kepada agama," tegas Azam.

Oleh itu, katanya, soal menangani isu-isu agama hendaklah dilakukan secara meyakinkan dan bersungguh-sungguh dengan memberi penekanan kepada "isinya" daripada retorik semata-mata.

"Ini merupakan satu perkara yang kita nampak dan kita yakin Abdullah boleh membawanya," tambah beliau lagi

Mengenai seruan gerakan Zionis antarabangsa supaya menganyang Malaysia, sebagai membantah ucapan Dr Mahathir yang didakwa mengkritik kaum Yahudi sewaktu Persidangan Pertubuhan Islam (OIC baru-baru ini, Azam berkata:

"Bagi saya ini merupakan momentum terbaik untuk parti-parti politik Melayu duduk semeja berikutan seruan terbuka untuk memboikot Malaysia. Ini memaksa kita,.malah kita tidak ada pilihan - pilihan kita hanya satu, duduk semeja untuk mencari jalan pendamaian.

"Ini soal survival umat Islam...kita tidak boleh membutakan mata, pekakkan telinga, terhadap realiti yang kita hadapi.

"Jadi kedua-dua belah pihak kena bertolak-ansur. Kita kini ada perdana menteri baru. Berilah ruang dan kesempatan untuk Abdullah membuktikan kepimpinannya," tambah Azam.