Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM23,104 melibatkan cukai RM15,017.60 yang diletakkan dalam tujuh kenderaan dalam satu serbuan berhampiran pintu masuk sempadan di Bukit Kayu Hitam pagi semalam.

    

Timbalan Komander UPP Kedah Noor Mohamed Sheikh Alaudin berkata serbuan itu hasil maklumat awam yang dilakukan oleh lapan anggota UPP kira-kira pukul 1 pagi, mendapati ada tujuh kenderaan tempatan yang mencurigakan diletakkan di tempat letak kereta Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) di situ.

    

Katanya hasil pemeriksaan awal mendapati ketujuh-tujuh kenderaan tanpa pemandu itu ditutup dengan kain berwarna hitam pada tempat duduk belakang yang dipenuhi pelbagai jenis mercun dan bunga api bagi mengelak diketahui pihak berkuasa.

    

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sejumlah mercun dan bunga api diletakkan pada tempat duduk belakang dan bonet belakang dipercayai untuk pasaran di negara ini," katanya pada sidang media di Pejabat UPP Bukit Kayu itam di Bukit Kayu Hitam hari ini.

    

Katanya penyeludup terbabit yang bergerak secara berkumpulan dipercayai berjaya melepasi sekatan pihak berkuasa di pintu masuk sempadan.

Beliau berkata mereka dipercayai menunggu masa yang sesuai untuk membawa barang seludup itu keluar dari kawasan tersebut untuk simpanan sempena perayaan hari Raya Aidiladha dan Tahun Baru Cina akan datang.

    

Nor Mohamed berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih 20 kali ganda nilai atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

    

Kes akan dirujuk ke Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Bukit Kayu Hitam untuk siasatan lanjut.

    

- Bernama