PAS perlu tawan Kedah, Perlis untuk tarik sokongan bukan Islam
PAS perlu menawan Kedah dan Perlis bagi memperkuatkan lagi 'kuasa tawar-menawarnya", khususnya dengan rakyat bukan Islam bagi menjayakan hasrat parti itu untuk menubuhkan negara Islam.
PAS perlu menawan Kedah dan Perlis bagi memperkuatkan lagi 'kuasa tawar-menawarnya", khususnya dengan rakyat bukan Islam bagi menjayakan hasrat parti itu untuk menubuhkan negara Islam.
Menurut sumber-sumber yang rapat dengan parti berkenaan, sasaran pelancaran Dokumen Negara Islam pada 12 November lalu adalah masyarakat Melayu di kedua-dua negeri berkenaan.
Katanya, ini merupakan satu strategi PAS untuk menarik perhatian dan sokongan orang Islam di kedua-dua tersebut bagi merealisasikan matlamat PAS menawan Kedah dan Perlis dalam pilihanraya umum akan datang.
"Ternyata, pendekatan PAS itu berkesan apabila beribu-ribu orang datang menghadiri ceramah ketua penerangan PAS pusat, Datuk Harun Din berhubung perkara tersebut.
"Walaupun ia tidak semestinya bermakna kesemua mereka penyokong PAS, tetapi yang penting ialah mereka kini berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai
Dokumen Negara Islam
itu," katanya.
Menurutnya lagi, selepas memerintah Kelantan dan Terengganu, para pemimpin PAS sudah dapat memahami arus pemikiran masyarakat bukan Islam, khususnya di kedua-dua negeri berkenaan.
"Kebanyakan mereka, khususnya di kedua-dua negeri tersebut, kini sudah berasa selesa berada di bawah pemerintahan PAS yang ternyata tidak mengabaikan kebajikan masyarakat bukan Islam di sana," tambahnya.
Debat terbuka
Malah, katanya, mereka juga berpeluang untuk menikmati pelbagai kemudahan seperti peluang memiliki rumah dan tanah, sepertimana yang diperolehi oleh orang Melayu di sana.
Oleh itu, katanya, apa yang diperlukan oleh PAS ialah menambah penguasaan mereka meliputi Kedah dan Perlis, di samping Kelantan dan Terengganu sekarang.
"Dengan menguasai empat negeri, pastinya orang bukan Islam di negara ini akan memberi perhatian serius terhadap usaha PAS itu, seperti meninjau keadaan kehidupan bukan Islam di negeri-negeri terbabit," tambahnya.
Bagaimanapun, Dokumen Negara Islam yang dilancarkan oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu mendapatkan kritikan hebat daripada parti komponen Barisan Nasional, terutama MCA dan Gerakan.
Malah, naib presiden MCA, Datuk Dr Fong Chan Onn telah menegaskan bahawa partinya akan menghimpun masyarakat China supaya menentang konsep negara Islam PAS bagi mengelak wujudnya ekstremisme di negara ini.
Bagaimanapun, setiausaha agung PAS, Nasharuddin Mat Isa menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai berniat buruk.
Sehubungan itu, beliau telah mencabar Dr Fong supaya membuktikan dakwaannya dan berdebat secara terbuka dengan beliau berhubung isu tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.