Ibrahim Ali beri Umno Kelantan tempoh hingga bulan ini?
Bekas ketua Umno Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dikatakan telah memberi tempoh sehingga bulan ini kepada badan perhubungan Umno Kelantan untuk menimbang semula kedudukannya di Bahagian Pasir Mas.
Bekas ketua Umno Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dikatakan telah memberi tempoh sehingga bulan ini kepada badan perhubungan Umno Kelantan untuk menimbang semula kedudukannya di Bahagian Pasir Mas.
Sumber-sumber yang rapat dengan Ibrahim menyifatkan tindakan menyingkirkan beliau daripada jawatan ketua Umno bahagian Pasir Mas adalah tidak patut memandangkan sumbangan besarnya kepada Umno Kelantan selama ini.
Pada 22 Nov lalu, mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan oleh Pemangku Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat keputusan menggugurkan empat ketua bahagian di Kelantan daripada senarai jawatankuasa penaja parti negeri itu sebagai langkah pemantapan bagi menghadapi pilihan raya.
Mereka ialah ketua bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah; Datuk Ahmad Shahabuddin Mohd. Noor (Bachok), Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas), Tuan Hashim Tuan Yaacob (Kubang Krian).
Manakala pengganti mereka ialah Datuk Romzi Abdul Rahman (Kuala Krai), Datuk Dr Awang Adek Hussin (Bachok), Datuk Rahim Abdul Rahman (Pasir Mas) dan Datuk Ahmad Rosli Ibrahim (Kubang Kerian).
Selepas keputusan dibuat, Wan Zaid, Ahmad Shahabuddin dan Tuan Hashim, telah menyatakan kesediaan mereka menerima pengganti masing-masing dengan hati yang terbuka. Bagaimanapun, Ibrahim yang dihubungi enggan mengulas mengenai perkara tersebut.
"Beliau tidak sepatutnya dibuang begitu sahaja. Setidak-tidaknya berundinglah terlebih dahulu dengan Datuk Ibrahim sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai kedudukannya sebagai ketua bahagian berkenaan," tambah sumber-sumber tersebut.
Katanya, beliau telah difahamkan yang Ibrahim telah memberi tempoh sehingga bulan ini kepada pemimpin tertinggi Umno Kelantan untuk berbincang semula mengenai kedudukannya di Pasir Mas.
Sambutan
Jika mereka tidak berbuat sesuatu, katanya, Ibrahim dijangka mengambil tindakan yang sesuai demi menjaga maruahnya sebagai seorang ahli politik.
Ditanya, apakah bentuk tindakan yang bakal diambil oleh Ibrahim, sumber-sumber berkata, hanya masa yang akan menentukannya.
Bagaimanapun,
malaysiakini
difahamkan, sudah timbul ura-ura mengenai kemungkinan Ibrahim akan mencabar pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustafa Mohamad dalam pilihanraya umum akan datang.
Bagaimanapun, sumber-sumber tersebut enggan mengulas mengenainya, tetapi menegaskan bahawa Ibrahim hanya berminat untuk bertanding sekali lagi sahaja dalam pilihanraya umum akan datang.
"Tujuan beliau adalah untuk menebuskan kekalahannya di tangan PAS dalam pilihanraya umum lalu. Selepas sepenggal beliau akan melepaskannya kepada timbalannya untuk bertanding," tambahnya.
Malaysiakini
juga difahamkan bahawa persiapan sedang dibuat untuk menyambut secara besar-besaran kepulangan Ibrahim ke Kelantan dari Kuala Lumpur tidak lama lagi."Tidak kurang 10,000 orang dijangka berkumpul untuk menyambut kepulangan beliau di samping menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinannya, khususnya di Pasir Mas," tegasnya.
Katanya ini kerana mereka percaya bahawa tindakan menyingkirkan Ibrahim sebagai ketua bahagian tersebut adalah semata-mata didorong oleh sikap 'membalas dendam' terhadapnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.