Umno Kelantan: Perubahan cermin kehendak sebenar pengundi
Perubahan dalam barisan kepimpinan Umno Kelantan, termasuk pengguguran empat ketua bahagian, dibuat berdasarkan kepada kehendak dan maklumbalas yang diterima daripada akar umbi bagi mencerahkan peluang parti itu menawan semula Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang.
Perubahan dalam barisan kepimpinan Umno Kelantan, termasuk pengguguran empat ketua bahagian, dibuat berdasarkan kepada kehendak dan maklumbalas yang diterima daripada akar umbi bagi mencerahkan peluang parti itu menawan semula Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang.
"Dan perubahan itu juga diterima oleh pucuk pimpinan Umno pusat bagi 'memudakan' semula Umno negeri mengikut selera dan kehendak majoriti rakyat dan ahli Umno," kata sumber Umno Kelantan hari ini.
Oleh itu, katanya, jika ketua bahagian terbabit membantah keputusan tersebut, ia bererti mereka bukan menentang kepimpinan Umno Kelantan sahaja, sebaliknya mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan Umno pusat.
"Kriteria yang penting dalam membuat keputusan tersebut ialah untuk menang pilihanraya. Untuk itu, kita mesti dengar apa yang pengundi mahu, kerana merekalah yang akan memastikan kemenangan kita.
"Sudah tentulah kalau kita bertanya kepada mereka yang terbabit, mereka akan mengatakan bahawa mereka sudah banyak berbakti kepada parti dan sepatutnya dikekalkan.
"Tetapi hakikatnya, berdasarkan maklumbalas dari akar umbi, pengundi menolak kepimpinan mereka di kawasan masing-masing," tambah sumber itu lagi.
Mantapkan parti
Mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan oleh Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 22 Nov lalu, menggugurkan empat ketua bahagian di Kelantan daripada senarai jawatankuasa penaja parti negeri itu sebagai langkah pemantapan bagi menghadapi pilihanraya.
Mereka ialah ketua bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah; Datuk Ahmad Shahabuddin Mohd. Noor (Bachok), Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas), Tuan Hashim Tuan Yaacob (Kubang Krian).
Tempat mereka diganti oleh Datuk Romzi Abdul Rahman (Kuala Krai), Datuk Dr Awang Adek Hussin (Bachok), Datuk Rahim Abdul Rahman (Pasir Mas) dan Datuk Ahmad Rosli Ibrahim (Kubang Kerian).
Bagaimanapun, keputusan itu telah dibantah oleh Shahabuddin dan Ibrahim. Berikutan itu, sebagai langkah kompromi, Shahabuddin telah dilantik sebagai penasihat Umno bahagian Bachok.
Manakala Ibrahim
dikatakan
memberi tempoh sehingga bulan ini kepada Umno negeri untuk menimbang semula keputusan terhadapnya itu.
Menurut sumber itu lagi, secara umumnya, perubahan yang dilakukan terhadap barisan kepimpinan di Kelantan itu bukanlah sesuatu yang tidak diduga langsung.
"Ini bukannya satu kejutan...malah ramai yang telah menjangkanya. Sebenarnya keputusan itu tidak boleh dianggap sebagai satu usaha mencantas mana-mana pemimpin di Kelantan, jauh sekali dakwaan untuk membalas dendam.
Pengganti berwibawa
Lagi pula, katanya, mereka yang digugurkan ini memang mempunyai masalah imej manakala yang lainnya sudah berkali-kali bertanding dan sepatutnya memberi peluang kepada muka baru.
"Ahmad Shahabudin umpamanya telah lima kali bertanding dalam pilihanraya dan merupakan ketua Umno paling lama...berilah peluang kepada muka baru. Lagi pula penggantinya Datuk Dr Awang Adek adalah juga seorang yang berwibawa...," tambah.
Sehubungan itu, beliau memuji tindakan Dr Awang (
gambar
) kerana melantik Shahabudin sebagai penasihat Umno bahagian, manakala di Kubang Krian pula telah diadakan majlis penyerahan tugas kepada ketua baru.
"Perkembangan beginilah yang kita ingin lihat....sifat mementingkan kepentingan parti, terutama dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang. Orang luar boleh kata apa sahaja, tetapi medan pertempuran Umno-PAS adalah di Kelantan, bukan di negeri-negeri lain," tambahnya.
"Apa yang mereka (akar umbi) mahu ialah kepimpinan negeri mengambil langkah 'memudakan' Umno...bukan dengan melantik orang muda sahaja, tetapi juga muka-muka baru yang berwibawa walaupun juga sudah berumur," tambahnya.
Menurutnya, ini juga merupakan 'pusingan terakhir" perubahan dalam Umno Kelantan bagi memantapkan lagi kekuatan dan persediaan parti itu untuk mencapai kejayaan dalam pilihanraya umum akan datang.
Hasrat rakyat
"Ianya juga selaras dengan slogan Umno Kelantan - Perubahan Sudah Bermula - dan perubahan terbaru ini menandakan bermulanya perubahan tersebut," tambahnya.
"Kalau hendak berjaya, Umno negeri mesti mendengar pandangan rakyat. Antara maklumbalas yang diterima ialah peluang Umno untuk menang lebih cerah sekiranya diketengahkan muka-muka baru.
'Setelah menganalisanya secara mendalam, kita bersetuju ianya dapat membantu....Tetapi kalau satu dua perubahan sahaja, orang akan kita ianya bersifat kosmetik...kalau ramai sangat, orang kata ianya satu revolusi dan akan timbul masalah dalaman nanti.
"Jadi dengan melakukan empat perubahan di peringkat bahagian, ianya menggambarkan kita sedia melakukan perubahan dan lebih responsif kepada kehendak akar umbi," tambah sumber itu lagi.
Kerana itulah, tambahnya, dalam membuat perubahan tersebut, apa yang dipentingkan ialah apa yang rakyat mahu kerana merekalah yang akan mengundi dalam pilihanraya umum, bukannya apa yang dikatakan oleh individu-individu tertentu dalam parti.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.