Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim menafikan wujudnya jawatankuasa khas yang dibentuk untuk memilih ketua dan ahli jawatankuasa penaja semua bahagian Umno di negeri itu.

Sebaliknya, kata beliau, semua keputusan berhubung perlantikan ketua penaja Umno di negeri berkenaan dibuat oleh pihak Umno pusat yang kemudiannya disahkan oleh Majlis Tertinggi Umno.

Menurutnya, yang ada ialah jawatankuasa pengurusan Umno peringkat negeri yang dianggotai, antaranya, beliau sendiri, bendahari, Datuk Dr Awang Adek Hussin; setiausaha perhubungan, Mat Nawawi Mat Jusoh dan ketua penerangan Alwi Che Ahmad.

"Jawatankuasa berkenaan tidak terbabit dalam perlantikan ketua dan ahli jawatankuasa penaja bahagian di Kelantan," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Ibrahim Ali yang mendakwa jawatankuasa pemilih turut dianggotai Dr Awang yang turut terbabit dalam perlantikan tersebut.

Ibrahim adalah antara empat ketua bahagian yang digugurkan daripada senarai jawatankuasa penaja di Kelantan, Yang lainnya ialah Datuk Wan Zaid Wan Abdullah (Kuala Krai); Datuk Ahmad Shahabuddin Mohd. Noor (Bachok) dan Tuan Hashim Tuan Yaacob (Kubang Krian).

Mereka digantikan oleh Datuk Romzi Abdul Rahman (Kuala Krai), Dr Awang Adek (Bachok), Datuk Rahim Abdul Rahman (Pasir Mas) dan Datuk Ahmad Rosli Ibrahim (Kubang Kerian).

Tidak berganjak

Oleh itu, kata Zaid, tidak timbul soal berlakunya konflik kepentingan berikutan perlantikan Dr Awang (timbalan ketua Umno bahagian Bachok) sebagai ketua penaja bahagian berkenaan.

"Dan sepertimana yang dinyatakan oleh pemangku Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, keputusan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi dan ianya adalah muktamad," kata Zaid ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Semalam, ketika ditanya mengenai pengguguran Ibrahim, selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno di ibupejabat Umno di Kuala Lumpur, Abdullah menegaskan Umno tidak akan berganjak dari keputusan asal MT.

Mengenai usaha penyokong Ibrahim hendak mendesak MT menimbang semula penggugurannya sebagai ketua bahagian Pasir Mas, Abdullah berkata: "Keputusan sudah dibuathabistamat".

Mengenai dakwaan Ibrahim mengenai sebarang konspirasi hendak menjatuhkannya, perdana menteri menjawab: "Keputusan itu dibuat dalam Majlis Tertinggi, dibincang dalam Majlis Tertinggi ..apa ada konspirasitak kan konspirasi melibatkan semua orangtak ada ."

Berhubung pengganti Ibrahim (Rahim), Abdullah berkata: "Orang yang menggantinya ialah timbalannya dan orang itu dianggap terbaik untuk memimpin dan juga untuk mendapat kepercayaan dari rakyat kelantan."

Rahim adalah pemilik syarikat pengurusan hartanah terkenal, Rahim and Co.

Perlantikan semula

Sehubungan itu, Zaid berkata, sewaktu penubuhan jawatankuasa penaja dibuat oleh Majlis Tertinggi, maka kesemua ketua bahagian sebelumnya, gugur daripada jawatan masing-masing.

"Semuanya gugur jawatan, termasuk saya sendiri selaku ketua Umno bahagian Kota Bharu dan Datuk Ibrahim di bahagian Pasir Mas, dan begitu juga dengan yang lain-lainnya," jelasnya.

Selepas itu, katanya, terpulanglah kepada pihak Majlis Tertinggi sama ada mahu melantik semula ketua-ketua bahagian sebelumnya, atau melantik orang baru untuk mengganti mereka.

Jadi, tegas Zahid, Ibrahim tidak dilucutkan jawatannya kerana beliau secara automatik gugur sebaik sahaja jawatankuasa penaja ditubuhkan di semua bahagian, berikutan berlakunya persempadanan baru kawasan pilihanraya di negara ini.

Cumanya, katanya, Ibrahim tidak dilantik semula menerajui bahagiannya dan tempatnya digantikan oleh timbalan beliau sebelum ini.

"Namun begitu, Ibrahim tidak hilang haknya sebagai ahli parti di mana beliau boleh bertanding bagi sebarang jawatan dalam parti dalam pemilihan parti akan datang," tambahnya.

Berikutan itu, Zaid menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ibrahim bahawa wujudkan satu konspirasi politik di kalangan pemimpin Umno Kelantan untuk menjatuhkannya di negeri tersebut.

Peristiwa 1998

Ketika ditanya siapakah yang mengemukakan senarai calon bagi jawatan-jawatan berkenaan, Zaid berkata: "Itu saya tidak tahu....awak kena tanya ketua perhubungan Umno negeri (Datuk Mustafa Mohamad) ataupun Majlis Tertinggi."

Mengenai dakwaan Ibrahim bahawa timbalannya (Rahim) sudah mengetahui lebih awal mengenai perubahan di bahagian Pasir Mas, Zaid berkata: "Itu saya tidak tahu, kena tanya Datuk Rahim sendiri."

Menurutnya, sudah tentunya mereka yang tidak dilantik semula tidak akan berpuashati dan akan membuat bermacam dakwaan.

Bagaimanapun, katanya, mereka juga jangan lupa dengan apa yang berlaku pada 1998 apabila Majlis Tertinggi memutuskan tiada pertandingan bagi semua jawatan di Kelantan bagi menjaga perpaduan dalam Umno negeri ketika itu.

"Pada tahun berkenaan, pertandingan bahagian diadakan di seluruh negara, tetapi atas sebab tertentu di Kelantan tak payah tanding. Semua ketua bahagian kekal, walaupun ada pihak tidak berpuashati, kerana hak mereka bertanding tidak ada," tegasnya..

Keputusan tersebut, kata Zaid, jelas berpihak kepada pemegang jawatan ketika itu, termasuklah Ibrahim sendiri, manakala yang tidak bertanding pula, tidak puas hati.

"Kalau dalam tahun 1998, yang tidak bertanding tidak puas hati...tapi mereka terima keputusan parti...begitu juga dalam kes ini...kita tidak boleh lawan keputusan parti...," tambahnya.