Para penyokong Datuk Ibrahim Ali mendakwa bekas ketua bahagian Pasir Mas bertanggungjawab merapatkan semula hubungan di antara pemimpin Umno negeri dengan pihak istana selepas Barisan Nasional ditewas di tangan PAS sejak 1990.

"Melalui pelbagai aturcara yang dianjurkan oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang dipengerusikan oleh Datuk Ibrahim sempena hari keputeraan baginda, maka dapatlah pemimpin-pemimpin Umno negeri, duduk sepentas dengan baginda sultan," tegas salah seorang daripada penyokongnya yang tidak mahu namanya disiarkan.

"Hanya Datuk Ibrahim sahaja yang sanggup berbuat semua itu, termasuk mengadakan perarakan sempena keputeraan baginda, walaupun Kelantan diperintah oleh PAS," katanya lagi.

Tegasnya, hubungan di antara Umno dan istana agak renggang selepas gabungan pembangkang - Angkatan Perpaduan Ummah (APU) - pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), berjaya merampas Kelantan daripada Umno dalam pilihanraya umum 1990.

Komponen utama gabungan itu ialah PAS dan Semangat 46 (S46) pimpinan Ku Li Manakala S46 pula bekerjasama dengan DAP melalui satu gabungan - Gagasan Rakyat.

Kedua-dua gabungan barisan pembangkang itu ditubuhkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan haram pada tahun 1988. Peristiwa itu berlaku selepas Ku Li mencabar Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno dalam pilihan parti pada 1987.

Tidak diperlukan lagi

Berikutan itu, berlaku perpecahan dalam parti berkenaan, dengan Tengku Razaleigh menubuhkan S46 manakala Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Umno baru. Sejak itu, hubungan di antara Umno dan pihak istana menjadi renggang kerana Ku Li yang ada kaitan dengan pihak istana, tidak lagi berada di dalam Umno.

Sementara itu, penyokong Ibrahim mendakwa 'kesalahan" bekas timbalan menteri ialah 'kerana bekerja terlaku kuat untuk membantu Umno di Kelantan" sehinggakan berjaya menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh parti, termasuk hubungan dengan istana, "sehingga khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi".

Ibrahim adalah antara empat ketua bahagian yang digugurkan daripada senarai jawatankuasa penaja di Kelantan, Yang lainnya ialah Datuk Wan Zaid Wan Abdullah (Kuala Krai); Datuk Ahmad Shahabuddin Mohd. Noor (Bachok) dan Tuan Hashim Tuan Yaacob (Kubang Krian).

Mereka digantikan oleh Datuk Romzi Abdul Rahman (Kuala Krai), Dr Awang Adek (Bachok)( gambar ), Datuk Rahim Abdul Rahman (Pasir Mas) dan Datuk Ahmad Rosli Ibrahim (Kubang Kerian).

Penyokong Ibrahim itu juga mempertikaikan alasan yang diberikan oleh pucuk pimpinan Umno Kelantan bahawa perubahan, termasuk pengguguran ketua-ketua bahagian terbabit, sebagai mencerminkan kehendak rakyat.

"Kalaulah betul dakwaan tersebut, mengapa pula timbulnya kain-kain rentang di sekitar Kelantan yang menyatakan sokongan terhadap Datuk Ibrahim.

Kain rentang

Kain rentang yang berbunyi Terima kasih Dato' Mustafa kerana memecat Ibrahim Ali direntang di Simpang Jambatan Tendong, Pasir Mas di pagi hari raya pertama. Di cabang empat Jalan Pekeliling, Kota Bharu pula tergantung satu lagi mesej berbunyi "Keranamu Stopa, Umno Kacha".

Kain rentang yang lain pula tertera dengan tulisan Hidup Umno Stopa, Mampus Umno Rakyat , Umno Zalim Sebab Pecat Pemimpin Yang Dipilih Rakyat dan Berdiri Teguh Di belakang Dato' Ibrahim .

Kerana itulah, para penyokong Ibrahim mendakwa bahawa bekas timbalan menteri itu dipecat kerana ada pihak yang iri hati dan busuk hati terhadapnya.

Mereka juga kesal dengan dakwaan sesetengah pihak di Kelantan yang mengatakan kain-kain rentang tersebut dinaikkan oleh penyokong PAS dan bukannya penyokong Ibrahim.

"Kenyataan seumpama itu kami anggap tidak bertanggungjawab. Ianya umpama perbuatan baling batu sembunyi tangan dan melepaskan batuk ditangga," tambah mereka.

Sebelum ini, Ibrahim memberitahu malaysiakini bahawa beliau akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menebus maruahnya yang sudah dihina oleh kepimpinan Umno Kelantan apabila digugurkan daripada jawatan ketua bahagian Pasir Mas.

Manakala Rabu lalu, Pemangku Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmd Badawi pula, menegaskan bahawa keputusan untuk menggugurkan empat ketua bahagian di Kelantan adalah keputusan muktamad Majlis Tertinggi Umno.

Boleh bertanding

Sementara itu, ketika dihubungi malaysiakini semalam, timbalan pengerusi Umno Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ibrahim bahawa wujudkan satu konspirasi politik di kalangan pemimpin Umno Kelantan untuk menjatuhkannya di negeri tersebut.

Sebaliknya kata Zaid, Ibrahim tidak dilucutkan jawatannya kerana beliau secara automatik gugur sebaik sahaja jawatankuasa penaja ditubuhkan di semua bahagian, berikutan berlakunya persempadanan baru kawasan pilihanraya di negara ini.

Cumanya, katanya, Ibrahim tidak dilantik semula menerajui bahagiannya dan tempatnya digantikan oleh timbalan beliau sebelum ini.

"Namun begitu, Ibrahim tidak hilang haknya sebagai ahli parti di mana beliau boleh bertanding bagi sebarang jawatan dalam parti dalam pemilihan parti akan datang," tambahnya.