AirAsia mulakan firma penerbangan premium baru
Ketua AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes akan menubuhkan sebuah syarikat penerbangan premium serantau yang baru bagi bersaing dengan penerbangan perkhidmatan penuh RedQ, yang dimiliki oleh Qantas, lapor akhbar The Sun hari ini yang memetik sumber yang tidak dinamakan.
Laporan itu memetik Fernandes berkata perkhidmatan penuh berkenaan akan dinamakan Caterham Jet tetapi masih belum diberi lesen operasi oleh kerajaan Malaysia walaupun syarikat itu telah memiliki pesawat Bombardier CRJ bagi tujuan tersebut.
Akhbar itu memetik sumber sebagai berkata bahawa Air Asia akan memohon kepada kerajaan supaya ia beroperasi dari lapangan terbang Subang berhampiran Kuala Lumpur dan dijadualkan memulakan operasi mulai Mei 2012.
"Antara laluan yang dicadangkan termasuk Bangkok, Jakarta dan Singapura," kata sumber yang tidak dinamakan.
Fernandes, yang merupakan prinsipal pasukan Formula Satu pasukan Team Lotus, pada bulan April lalu membeli firma pembuat kereta sukan British, Caterham Cars.
Air Asia dan Fernandes tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan komen.
- Reuters

