Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ribuan saksi ulangtahun keputeraan Sultan K'tan
Diterbitkan:  Nov 11, 2011 5:25 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Lebih 1,000 rakyat pelbagai kaum hadir di Padang Merdeka Kota Bharu untuk menyaksikan majlis istiadat meletak kerja dan perbarisan sempena ulang tahun keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V Yang Ke-42 yang disambut hari ini.

    

Mereka hadir sejak awal pagi dengan membawa anggota keluarga masing-masing untuk melihat sendiri kemeriahan sambutan itu yang pertama kali buat baginda selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September tahun lepas.

    

Majlis perbarisan kehormat itu yang diketuai Satu Rejimen Artileri Diraja (RAD) Para Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula tepat pukul 8.40 pagi ini sebaik sahaja ketibaan baginda bersama rombongan kerabat Istana Kelantan.

    

Turut hadir Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, exco-exco kerajaan negeri, pemimpin-pemimpin agensi kerajaan serta beberapa kenamaan lain.

    

Baginda yang segak berbaju Melayu songket berwarna krim kemudiannya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memeriksa kawalan perbarisan.

    

Sempena hari keputeraan baginda esok, Sultan Muhammad V akan menyampaikan pingat dan darjah kebesaran kepada penerimanya di Istana Balai Besar di Kota Bharu.

    

Hari ini dan esok adalah cuti umum sempena hari keputeraan baginda.

Sementara itu, sambutan hari keputeraan Sultan Kelantan hari ini, biarpun disambut dengan kesederhanaan tanpa perarakan kereta berhias dan pembinaan gerbang seperti tahun sebelumnya, tetap menjadi sambutan yang dinanti-nantikan rakyat Kelantan.

    

Rata-rata rakyat yang ditemui berkata, mereka sejak semalam tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke bandar Kota Baharu untuk menyaksikan keindahan bandar yang diterangi pelbagai lampu hiasan yang digelar sebagai 'pesta tengok lampu'.

    

Seorang penduduk Gua Musang, Mohd Zin Sulaiman, 70, berkata beliau walaupun berada jauh di pedalaman Kelantan namun tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi bandar Kota Baharu untuk melihat keindahan cahaya lampu yang bergemerlapan.

    

"Tiap tahun bila sambutan 'pujo umur' (keputeraan) Sultan, anak-anak mesti bawa pakcik pergi tengok lampu...dah jadi kemestian untuk jamu mata," katanya kepada Bernama.

Penduduk Tumpat, Muhd Fayruz Iskandar, 25, berkata beliau dan rakan-rakan awal-awal lagi merancang untuk menyambut hari keputeraan itu di Kota Bharu.

    

"Kalau nak dikira berada di mana-mana pun asal di Kelantan tetap boleh sambut hari keputeraan.

    

"Tetapi sebab nak rasa meriah tengok lampu hiasan, memang kena datang Kota Baharu, boleh juga ambil gambar untuk kenang-kenangan," katanya.

    

Bagi seorang penduduk Pasir Puteh, Liza Abdul Hadi, 30, pula selain untuk 'tengok lampu', kekagumannya terhadap Sultan Muhammad V yang disifatkan Sultan berjiwa rakyat itu menjadi pendorong untuknya bersama-sama meraikan sambutan hari keputeraan baginda di Kota Baharu.

    

Tinjauan Bernama sejak semalam mendapati lalu lintas di Kota Baharu semakin sesak apabila bandar itu mula menjadi tumpuan selepas Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan melaksanakan kerja-kerja keceriaan seperti memasang lampu hiasan dan papan iklan bertemakan Hari Keputeraan Sultan Muhammad V.

    

Selain itu menurut Setiausaha MPKB-BRI, Mohd Anis Hussein, sebanyak  kira-kira RM200,000 telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

    

"Selain kerja keceriaan oleh MPKB-BRI dan JKR, seramai 10,000 peniaga serta pemilik-pemilik bangunan dan premis sekitar kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan diberi notis untuk memasang kain rentang khas untuk dipamerkan di hadapan setiap premis perniagaan dengan cogan kata 'Semoga Allah Melindungi Tuanku Dunia dan Akhirat'," katanya.

    

Sambutan hari keputeraan tahun ini juga menjadi tumpuan berikutan ia merupakan sambutan hari keputeraan yang pertama buat Sultan Muhammad V selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 Sept tahun lepas.

    

Hari ini berlangsung Majlis Istiadat Meletak Kerja di Istana Balai Besar dan Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan di Padang Merdeka di sini manakala pada Sabtu pula akan diadakan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat, Surat Kepujian dan Jaksa Pendamai.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS