Zahidi: Saya tidak perlu lepas jawatan exco Pemuda
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beseri, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata beliau tidak perlu melepaskan jawatannya sebagai ahli exco Pemuda Umno Malaysia, walaupun dilantik sebagai ahli Exco negeri Perlis, Jumaat lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beseri, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata beliau tidak perlu melepaskan jawatannya sebagai ahli exco Pemuda Umno Malaysia, walaupun dilantik sebagai ahli Exco negeri Perlis, Jumaat lalu.
Menurutnya, ia kerana beliau dipilih untuk memegang jawatan tersebut dan sepatutnya beliau boleh kekal menyandangnya.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan melepaskan jawatannya sebagai setiausaha politik kepada Menteri Kewangan kedua, Datuk Jamaluddin Jarjis.
Mengenai kedudukannya sebagai ahli lembaga pengarah Bank Pertanian Malaysia, Zahidi berkata beliau juga akan menyemak sama ada boleh kekal atau perlu melepaskan jawatan tersebut.
Zahidi diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang memetik Shahidan sebagai berkata dengan perlantikan itu, beliau (Zahidi) perlu melepaskan jawatannya di peringkat pusat termasuk sebagai setiausaha politik Menteri Kewangan kedua dan ahli exco Pemuda Umno pusat.
Zahidi yang memang diketahui rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah. Ahmad Badawi, mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Abdullah yang merestui perlantikannya itu.
Terkejut
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih Datuk Seri Shahidan dan Datuk Seri Abdullah kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk dilantik ke jawatan tersebut," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Zahidi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beseri dalam pilihanraya umum lalu dengan majoriti 819 undi. Beliau memperolehi 2,774 undi untuk menewaskan calon PAS, Abdul Rahman Rejab yang mendapat 1,955 undi.
Beliau dianugerahkan darjah Seri Paduka Mahkota Perlis sempena hari keputeraan Raja Perlis pada bulan Mei lalu, yang membawa gelaran Datuk.
Pengumuman mengenai perlantikan Zahidi sebagai Exco kerajaan negeri mengejutkan banyak pihak kerana beliau selama ini dikatakan tidak sebulu dengan Shahidan.
Selain Zahidi, Shahidan tidak sebulu dengan Datuk Radzi Sheikh Ahmad (Ketua Bahagian Kangar) dan Datuk Azmi Khalid (Ketua Bahagian Padang Besar) yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Zahidi pernah menjadi pegawai di pejabat Menteri Besar Perlis. Bagaimanapun, hubungannya dengan Shahidan menjadi "sangat dingin" selepas pilihanraya umum 1999.
Angkat sumpah
Berikutan itu, khabar angin bertiup kencang di Perlis sekarang mengenai kemungkinan perlantikan itu sebagai satu 'pakatan politik' di antara Shahidan dan Zahidi, bagi menghadapi cabaran hebat daripada Radzi dan Azmi, dalam pemilihan parti akan datang.
Shahidan dan Zahidi telah mengadakan hari terbuka bersama, bertempat di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Beseri, sempena Hari Raya Puasa baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, Zahidi berkata: "Tak betul ...kita okay. Kita perlu mengukuhkan jentera pilihanraya parti bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang..."
Shahidan dijangka menyerahkan salah satu daripada enam portfolio yang disandangnya sekarang kepada Zahidi. Enam portfolio tersebut ialah Pentadbiran Kewangan, Belia dan Sukan, Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Kesihatan dan Hal-Ehwal Wanita.
Zahidi dijadual menerima tauliah perlantikan dan mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Istana Arau apabila baginda pulang daripada bercuti di luar negeri.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.