Tricubes dilantik ejen kutipan saman trafik

   

Syarikat yang terbabit dengan projek e-mel 1Malaysia, Tricubes Bhd menerima surat anugerah pada Selasa lalu dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melantiknya sebagai ejen kutipan saman trafik.

Menurut Bernama , pengumuman itu dibuat oleh Tricubes kepada Bursa Malaysia hari ini.

Dalam pengumuman itu, syarikat berkenaan, berkata bahawa kutipan saman trafik akan dibuat melalui Mesin Juruwang (ATM) dan pertanyaan mengenai saman trafik pula melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Tricubes pernah dilantik oleh kerajaan persekutuan untuk mengendalikan projek yang dikenali sebagai projek e-mel 1Malaysia.

Bagaimanapun, selepas dibidas hebat oleh para pengkritik, projek itu ditukar nama kepada perkhidmatan MyEmail.

Idea di sebalik projek berkenaan adalah untuk membekalkan kepada semua rakyat Malaysia dengan akaun e-mel yang selamat untuk urusan surat-menyurat dan urus niaga kewangan dengan agensi-agensi kerajaan.

Hujah kerajaan adalah kaedah ini akan menjimatkan dana awam kerana setiap urusan surat-menyurat boleh dikenakan bayaran sehingga RM1.

Projek yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada 19 April lalu itu sepatutnya bernilai RM50 juta tetapi perdana menteri kemudiannya menjelaskan bahawa inisiatif itu semata-mata dibiayai pihak swasta.

Susulan itu, difahamkan bahawa Tricubes akan mendapat potongan RM0.50 bagi  setiap e-mel yang menggunakan perkhidmatan itu.

[Baca berita penuh]

   

Malaysiakini
terkini untuk anda