Umno negeri harap tiada rombakan besar terhadap senarai calon
Kepimpinan Umno peringkat negeri-negeri berharap agar pucuk pimpinan parti tidak melakukan rombakan besar-besaran terhadap senarai calon Umno yang dicadangkan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.
Kepimpinan Umno peringkat negeri-negeri berharap agar pucuk pimpinan parti tidak melakukan rombakan besar-besaran terhadap senarai calon Umno yang dicadangkan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.
Menurut sumber-sumber yang rapat dengan kepimpinan Umno negeri, ini berikutan calon-calon yang dicadangkan itu merupakan mereka yang diakui komited terhadap perjuangan parti.
"Walaupun kata putus di tangan pucuk pimpinan tertinggi parti, kita berharap tidak berlaku rombakan besar-besaran. Satu dua perubahan itu memang perkara biasalah," kata sumber-sumber tersebut.
Menurut mereka lagi, sekurang-kurangnya 35 peratus calon Umno yang disenaraikan bagi pilihanraya umum di semua negeri akan diisi oleh muka-muka baru, sepertimana yang pernah dihasratkan oleh pemangku Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Oleh itu, pengumuman sepertimana yang dibuat oleh Menteri Besar Perak kelmarin mengenai 15 muka baru dalam senarai calon Umno dari Perak, tidaklah mengejutkan kerana ianya memang sudah dijangka," tambah mereka.
Malah, kata mereka, hasrat Abdullah itu berhubung penampilan muka baru bagi mencerminkan perubahan di semua peringkat saf kepimpinan parti, telah memudahkan Umno negeri memilih senarai calon masing-masing.
Calon diganti
Kelmarin, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali, berkata Umno negeri itu telah menyenaraikan 15 muka baru dalam senarai calon bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Antara muka baru, katanya, lapan calon tersebut adalah untuk satu kawasan Parlimen dan tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwujudkan ekoran persempadanan semula kawasan pilihanraya. Manakala tujuh lagi muka baru akan menggantikan calon lama di kawasan sedia ada.
Empat muka lama yang tidak dicalonkan semula kali ini ialah ketua penerangan Umno, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob (Parlimen Parit), Saikidol Mohd. Noor (DUN Gunung Semanggol), Ismail Hasbullah (DUN Bota) dan Abdul Latiff Mat Ali (DUN Titi Serong)
Kesemua keempat-empat mereka tewas dalam pilihanraya umum lalu.Mereka juga tidak dilantik sebagai ketua penaja bahagian Umno.
Bagaimanapun, dua calon yang tewas dalam pilihanraya lalu - Abdul Rahman Suliman (Parlimen Parit Buntar) dan Datuk Zaim Abu Hassan (DUN Belanja)- dicalonkan semula selepas masing-masing dilantik sebagai ketua penaja Umno bahagian Parit Buntar dan Parit.
Selain Perak, pengerusi Badan Perhubungan Umno dari Selangor, Pahang, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan, telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan ahli Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno di Putrajaya, petang kelmarin.
Kedudukan menteri
Bagaimanapun, Tajol Rosli dilaporkan berkata beliau menyerahkan kepada pemangku presiden Umno untuk memutuskan kedudukan dua menteri dan seorang timbalan menteri yang berasal dari Perak.
Mereka ialah Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Aziz Shamsuddin.
Hanya Aziz yang dilantik sebagai ketua penaja Umno Bahagian Gopeng manakala Musa pula adalah Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dilantik tetapi Abdul Hamid adalah ahli biasa Umno.
Manakala Umno Kedah juga telah
menyiapkan
senarai calon, yang menurut Menteri Besar, Datuk Syed Razak Syed Zin, berupakan gandingan muka baru dan lama.
Setakat ini, katanya, beliau belum lagi mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemangku Presiden Umno mengenai perkara tersebut.
Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo pula pihaknya akan memutuskan senarai calon selepas Abdullah, selaku pengerusi BN, mengumumkan sepenuhnya pengagihan kerusi bagi semua parti komponen di seluruh negara.
Katanya, BN Selangor akan bermesyuarat selepas itu bagi membincangkan pembahagian kerusi antara parti komponen di negeri itu dan memutuskan calonnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.