Ramai pihak dalam Umno merasa kurang senang dengan tindakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang mendedahkan butir-butir terperinci mengenai senarai cadangan calon dari Umno bagi pilihanraya umum akan datang.

"Kita rasa pelik kerana keputusan muktamad mengenainya belum diputuskan lagi oleh Jawatankuasa Pengurusan Umno yang dipengerusikan oleh pemangku Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," kata seorang pemimpin Umno.

"Setahu kita, senarai cadangan calon dari semua Umno negeri, bukan muktamad. Kemungkinan jawatankuasa tersebut membuat perubahan yang diperlukan. Kemungkinan nama dalam senarai itu diganti dengan calon baru,," tegasnya.

Oleh itu, katanya, Mohd Tajol tidak seharusnya mendahului keputusan jawatankuasa berkenaan, dengan memperincikan butir-butir yang terkandung dalam senarai yang dikemukakannya..

"Lagi pula, salah seorang daripada mereka yang tidak dicalon semula di Perak ialah ketua penerangan Umno, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob yang turut menganggotai Jawatankuasa Pengurusan," tegasnya lagi.

Kurang selesa

Menurutnya, kenyataan Tajol Rosli itu mungkin boleh membuat Megat Junid menjadi kurang selesa untuk menjalankan tugasnya berhubung dengan senarai calon pilihanraya yang dikemukakan itu.

Minggu lalu, Mohd Tajol yang juga Menteri Besar Perak, selain Megat Junid ( kanan ), mereka yang tidak dicalonkan semula ialah Saikidol Mohd. Noor (DUN Gunung Semanggol), Ismail Hasbullah (DUN Bota) dan Abdul Latiff Mat Ali (DUN Titi Serong), tidak dicalonkan semula.

Kesemua keempat-empat mereka tewas dalam pilihanraya umum lalu.Mereka juga tidak dilantik sebagai ketua penaja bahagian Umno.

Bagaimanapun, dua calon yang tewas dalam pilihanraya lalu - Abdul Rahman Suliman (Parlimen Parit Buntar) dan Datuk Zaim Abu Hassan (DUN Belanja)- dicalonkan semula selepas masing-masing dilantik sebagai ketua penaja Umno bahagian Parit Buntar dan Parit.

Bagaimanapun, Tajol Rosli dilaporkan berkata beliau menyerahkan kepada pemangku presiden Umno untuk memutuskan kedudukan dua menteri dan seorang timbalan menteri yang berasal dari Perak.

Mereka ialah Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Aziz Shamsuddin.

Hanya Aziz yang dilantik sebagai ketua penaja Umno Bahagian Gopeng manakala Musa pula adalah Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dilantik tetapi Abdul Hamid adalah ahli biasa Umno.

Pandangan beliau turut disokong oleh sebilangan pemimpin Umno yang mahukan pengerusi perhubungan Umno supaya jangan mendedahkan senarai calon pilihanraya yang mereka kemukakan kepada pucuk pimpinan parti, sehinggalah ianya diputuskan secara muktamad.

"Ia bukan sahaja tidak baik, tetapi calon-calon yang disenaraikan akan kecewa sekiranya nama mereka kemudiannya digantikan dengan orang lain. Kita jangan memberi harapan kepada mereka yang dicadangkan sebagai calon, sehinggalah ia dimuktamadkan," kata seorang daripada mereka.

Katanya, kecuali Mohd Tajol, setakat ini, pengerusi badan perhubungan umno negeri-negeri yang telah menyerahkan senarai cadangan calon piliharanraya dari Umno bagi negeri-negeri masing-masing, hanya membuat kenyataan mengenainya.

"Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Syed Razak Syed Zin, hanya menyatakan bahawa senarai calon yang dikemukakannya itu merupakan gandingan muka baru dan lama," tambahnya.