Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan pengasas Limkokwing University of Creative Technology Tan Sri Lim Kok Wing untuk mengetepikan sepina terhadapnya bagi memberi keterangan dalam satu saman yang dibuat oleh Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan terhadap peguam Matthias Chang Wen Chieh.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membenarkan permohonan itu dengan kos RM3,000.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Datuk Rajan Navaratnam, mewakili Lim, dan peguam Datuk R Kamalanathan, mewakili Chang.

Bekas pengarah South Peninsular Industries Bhd Tan Sri Azman Hashim menarik balik permohonannya. Ini bermakna bahawa Azman perlu memberi keterangan dalam perbicaraan.

Mahkamah juga menetapkan 20 Dis ini untuk memutuskan permohonan bekas Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bagi mengetepikan sepina selepas mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan Habibah Haron mewakili menteri dan peguam Kamalanathan.

Pada tarikh itu, mahkamah akan mendengar permohonan sama yang dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan pekerja Suruhanjaya Sekuriti.

Keempat-empat mereka dan pekerja itu telah disepina bagi memberi keterangan sebagai saksi Chang dalam perbicaraan yang sedang berjalan mengenai saman bekas timbalan pengerusi New Straits Times Press Bhd (NSTP) itu.

Pada 29 Jun, 2006, Kalimullah memfailkan saman fitnah selepas Chang, bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir didakwa mengeluarkan kenyataan terhadap beliau pada sidang akhbar 13 Jun tahun yang sama, dan laporan itu disiarkan dalam akhbar Straits Times di Singapura.

Beliau memohon injunksi untuk menegah Chang daripada menyiarkan perkataan yang sama, ganti rugi RM50 juta, kos dan faedah.

Katanya perkataan dalam artikel itu bermaksud beliau seorang rakyat Malaysia yang tidak jujur, tidak ada kredibiliti, tidak boleh dipercayai, tercemar, keji, pengecut, suka memanipulasi dan penipu.

Chang, juga memfailkan dakwaan balas terhadap Kalimullah pada 14 Juai antara lain memohon ganti rugi RM150 juta.

- Bernama