Usaha barisan kepimpinan Umno Kelantan bagi menrealisasikan matlamatnya untuk merampas semula negeri itu daripada PAS dalam pilihanraya umum akan datang mungkin tidak kesampaian kerana sokongan rakyat terhadap parti itu masih belum lagi mantap.

Malaysiakini

difahamkan ini berikutan keputusan pilihanraya olok-olok yang diadakan di kawasan Parlimen Jeli baru-baru ini yang dikatakan tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN), khususnya Umno.

Malaysiakini

juga difahamkan bahawa berdasarkan keputusan pilihanraya olok-olok itu, BN memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 undi lagi bagi memenangi kawasan Parlimen berkenaan.

BN dan Umno di Kawasan Parlimen Jeli adalah dipimpin oleh Datuk Mustafa Mohamad yang juga merupakan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

"Keputusan itu sudah tentunya tidak menggembirakan kerana ianya kawasan yang bakal ditandingi Datuk Mustafa sendiri," kata sumber-sumber yang mengetahui.

Malah, katanya, tiga daripada peti undi dalam pilihanraya umum olok-olok itu juga didapati memihak sepenuhnya kepada parti PAS.

Menurutnya lagi, keputusan itu juga boleh dianggap mencerminkan tahap sokongan rakyat Kelantan terhadap para pemimpin Umno yang menganggotai badan perhubungan Umno negeri.

Berdasar keputusan itu, katanya, mahu tidak mahu, Umno Kelantan pimpinan Mustafa perlu mencari strategi yang lebih mantap lagi untuk menguatkan lagi jentera pilihanraya Umno negeri.

Beri peluang

"Oleh itu, adalah lebih baik jika barisan kepimpinan Umno negeri sekarang mengetepikan persengketaan peribadi untuk bersatu padu menguatkan lagi cabaran Umno di Kelantan.

"Tidak salahnya jika Umno negeri turut memberi peluang kepada pemimpin yang berpengaruh termasuk bekas ketua Umno bahagian Pasir MAS, Datuk Ibrahim Ali untuk turut sama menghulur bantuan dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang," tambahnya.

Ditanya sama ada Ibrahim sedia melupakan rasa tidak puashatinya terhadap kepimpinan Umno negeri kerana tidak dilantik semula memimpin Umno Pasir Mas, sumber-sumber itu berkata:

"Setahu saya, walaupun beliau cepat marah, tetapi Datuk Ibrahim juga mudah memaafkan orang demi kepentingan Umno yang sudah lama diperjuangkannya, khususnya di Kelantan.

"Kini terpulanglah kepada Datuk Mustafa dan barisan kepimpinan Umno negeri yang lain, sama ada mereka mahu Datuk Ibrahim turut sama membantu Umno negeri membuat persediaan bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Apa yang diperlukan oleh rakyat Kelantan iala pemimpin rakyat, iaitu pemimpin yang sentiasa bersama rakyat. Bukannya pemimpin parti, yang sepanjang masa berulang-alik ke Kuala Lumpur," tambahnya.

Seperkara lagi, katanya, kepimpinan Umno Kelantan juga perlu memberi peluang kepada barisan pelapis yang terdiri daripada golongan profesional untuk turut bersama-sama membantu Umno negeri.

Katanya, ini merupakan langkah jangka panjang yang perlu diberi perhatian segera bagi mengekalkan kekuatan Umno negeri pada masa akan datang.