PAS dijangka tidak pertahan kerusi Kajang
PAS berkemungkinan besar tidak akan meletakkan calonnya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dalam pilihanraya umum akan datang.
PAS berkemungkinan besar tidak akan meletakkan calonnya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dalam pilihanraya umum akan datang.
Ini kerana selepas persempadanan semula kawasan Parlimen Hulu Langat baru-baru ini, kawasan Bangi yang merupakan kubu kuat PAS yang sebelum ini terletak dalam DUN Kajang, kini dipecah dan dipindahkan ke Kawasan Parlimen Serdang.
Berikutan itu, malaysiakini difahamkan bahawa kerusi berkenaan dijangka menjadi rebutan di antara calon Keadilan dan DAP.
Pengundi di kawasan Bangi menjadi penyumbang utama kepada kejayaan calon PAS, Dr Shafie Abu Bakar yang memperolehi 10,922 undi, untuk menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Choong Tow Chong yang mendapat 10,885 undi pada 1999.
Tanpa kawasan Bangi dalam DUN Kajang, maka pada amnya, majoriti pengundi bagi kerusi tersebut adalah bukan Melayu.
Oleh itu, kata sumber-sumber yang rapat dengan PAS, kemungkinan besar, parti tersebut tidak akan mempertahankan kerusi Kajang kerana peluangnya untuk menang adalah tipis.
Surau Jubli Perak
Sebaliknya, kata sumber-sumber itu, PAS akan bertanding di kerusi baru Bangi kerana kira-kira 70 peratus pengundi Melayu di situ dikatakan penyokong setia parti itu.
Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah meruntuhkan Surau Jubli Perak yang terletak di bawah bangunan sebuah flat di Bandar Baru Bangi, kerana mendakwa ianya dijadikan tempat PAS menyebarkan pengaruhnya di situ.
Berikutan itu, sebuah surau baru dibina bagi menggantikan surau tersebut dan ahli jawatankuasanya juga telah digantikan dengan yang baru.
PAS mendakwa tindakan itu didalangi oleh Umno, khususnya Menteri Besar Datuk Seri Mohd Khir Toyo, kerana bimbang dengan pengaruh PAS yang semakin kuat di Bangi.
Sebelum ini, Parlimen Hulu Langat mempunyai tiga DUN iaitu Dusun Tua, Kajang dan Beranang. Barisan Nasional menang di Dusun Tua, dengan majoriti 3,728 undi dan Beranang (2,652 undi), tetapi tewas kepada PAS di DUN Kajang dengan majoriti 37 undi sahaja.
Selepas persempadanan semula, kerusi DUN dalam Parlimen Hulu Langat ialah Dusun Tua, Kajang dan Semenyih.
Pengundi bukan Melayu
Dalam pilihanraya umum 1999, calon BN bagi DUN Dusun Tua, Zainal Abidin Ahmad memperolehi 9,588 undi untuk menewaskan calon PAS, Md Fadzil Hassan yang mendapat 5,860 undi.
Bagi DUN Beranang pula, calon BN Ahmad Kuris Mohd Nor menang, dengan memperolehi 8,760 undi, berbanding 6,108 undi yang diperolehi calon PAS, Zainuddin Lapoh.
Manakala kerusi DUN bagi kawasan Parlimen Serdang sebelum ini ialah Puchong, Sri Kembangan dan Balakong. BN memenangi ketiga-tiga kerusi berkenaan,yang sebahagian besar pengundinya ialah bukan Melayu.
Selepas persempadanan semula baru-baru ini, kerusi DUN di kawasan Parlimen berkenaan ialah Bangi, Sri Kembangan dan Balakong.
Dalam pilihanraya umum 1999, PAS memenangi empat kerusi DUN di Kajang (Dr Shafie), Sungai Besar (Sallehen Mukhyi), Sungai Burung (Datuk Hassan Ali) dan Gombak Setia (Datuk Ismail Kamus).
Keadilan pula memenangi satu kerusi di Hulu Kelang (Azmin Ali) manakala DAP juga menang satu kerusi di Bandar Klang (Teng Chang Khim).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.