Usaha untuk menemukan pemimpin Umno dan PAS dalam muzakarah yang sedang hangat diperkatakan sekarang dikatakan adalah atas dayausaha sebuah stesen televisyen tempatan.

"Mengikut maklumat yang kita terima, ia merupakan projek stesen berkenaan untuk mendesak kedua-dua parti kononnya supaya mengutamakan perpaduan Melayu dan bermuzakarah," kata sumber-sumber yang rapat dengan kepimpinan PAS.

"Sebab itulah, presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri nampaknya tidak pasti apakah reaksi yang harus diberikannya apabila ditanya wartawan mengenai cadangan tersebut," katanya.

Menurut sumber-sumber tersebut, memang jelas perbezaan Umno ketika di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad yang menurutnya banyak membuat keputusan untuk partinya.

"Di bawah Pak Lah pula, jelasnya wujudnya banyak kumpulan pemikir dan penasihat yang membuat cadangan dan keputusan untuk beliau.

"Sebab itulah, saya katakan tadi, Pak Lah pun tak tahu apa nak 'react' terhadap cadangan muzakarah itu...nampaknya beliau beliau agak ketinggalan berbanding dengan kumpulan-kumpulan pemikir beliau..." tambah sumber-sumber itu.

Sebelum ini, presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu masih bersedia untuk bermuzakarah dengan Umno demi untuk perpaduan Islam dan bangsa Melayu.

Biro politik

Malah, kata Abdul Hadi, PAS tidak akan mengenakan sebarang syarat serta sanggup mengetepikan kepentingan politik bagi merealisasikan pertemuannya dengan Umno bagi menyelesaikan secara bersama, segala isu yang berbangkit ketika ini termasuk soal akidah.

Berikutan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata baru-baru ini bahawa biro politik Umno akan membincangkan perkara itu terlebih dahulu.

Manakala setiausaha agung Umno, Tan Sri Khalil Yaacob juga dilaporkan sebagai berkata, dialog antara Umno dan PAS tidak akan menumpukan kepada soal-soal politik, sebaliknya akan berkisar sekitar masalah akidah dan agama yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

Menurutnya, soal akidah dan agama bukan merupakan soal politik tetapi ianya mempunyai kepentingan, tidak kira sama ada Umno atau PAS.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, sumber-sumber tersebut menegaskan pendirian PAS tetap konsisten sejak dahulu lagi yang ingin bermuzakarah dengan sesiapa sekalipun, termasuk Umno.

Ditanya sama ada usaha dibuat untuk menghidupkan semula jawatankuasa teknikal PAS-Umno yang pernah ditubuhkan untuk merancang muzakarah sebelum ini, sumber-sumber berkata:

"Oleh kerana ianya adalah inisiatif stesen TV berkenaan, jadi kita tidak ada sebarang komunikasi rasmi dari Umno atau sesiapa pun. Maka kami tidak akan membuat sesuatu lebih daripada itu..."