Pengundi mendaftar mengikut alamat pada kad pengenalan: Umno
Kebanyakan pengundi di Kelantan yang didakwa oleh PAS sebagai pengundi hantu adalah mereka yang mendaftar di kawasan-kawasan terbabit mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), demikian menurut seorang pemimpin Umno Kelantan hari ini.
Kebanyakan pengundi di Kelantan yang didakwa oleh PAS sebagai pengundi hantu adalah mereka yang mendaftar di kawasan-kawasan terbabit mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), demikian menurut seorang pemimpin Umno Kelantan hari ini.
Katanya, menurut peraturan baru SPR, seseorang itu hanya dibenarkan mendaftar dan mengundi di alamat yang tertera di kad pengenalan masing-masing.
"Setahu saya, kesemua pengundi yang terbabit itu telah didaftarkan secara sah berdasarkan alamat pada kad pengenalan mereka. Jika PAS tidak kenal mereka, tidak bermakna mereka itu pengundi hantu," katanya kepada
malaysiakini
.
Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas tindakan PAS Kelantan membuat laporan polis pada 21 Januari lalu kerana meragui peningkatan jumlah pengundi di beberapa kawasan di negeri itu.
Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mendakwa di antara Oktober hingga Disember lalu, seramai 23,804 pengundi baru berdaftar di Kelantan, berbanding 10,510 pada Julai, Ogos dan September lalu.
Beliau juga mendakwa bahawa pengundi hantu paling ramai dikesan di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Panau dan Gual Ipoh yang terletak di Parlimen Tanah Merah, Kuala Balah dan Bukit Bunga (Jeli) dan Dabong (Kuala Krai).
Manakala hari ini, Wan Abdul Rahim mengetuai pemimpin PAS ke Suhakam bagi membantah apa yang didakwanya kemasukan pengundi luar ke Kelantan. Turut sama beberapa ahli Parlimen dan Adun serta ahli Jabatan Pilihanraya PAS Kelantan.
Tukar alamat
Laporan itu, yang diserahkan kepada pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman, dibuat ekoran pendedahan dalam akhbar rasmi PAS, Harakah mengenai perkara itu.
Dalam laporannya itu, Harakah mendakwa wujudnya satu sindiket penukaran alamat dalam kad pengenalan beroperasi di sekitar Selangor untuk membolehkan mereka mengundi di Kelantan dalam pilihanraya umum nanti.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, pemimpin Umno berkenaan berkata adalah tidak logik bagi parti itu membawa masuk pengundi hantu ke kawasan Parlimen dan DUN di Kelantan, kerana akibatnya adalah besar.
"Seandainya kita menang tetapi kemudiannya mahkamah mendapati terdapat pengundi hantu yang turut mengundi, sudah pastinya kemenangan tersebut akan dibatalkan. Bukankah itu merugikan sahaja usaha kita selama ini."
Sebenarnya tegas beliau, ianya bukan perkara baru kerana sesiapa sahaja bebas untuk mengundi di mana-mana yang dia suka selagi alamatnya terletak di kawasan DUN atau parlimen berkenaan.
Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pihak SPR untuk membuat siasatan berhubung dakwaan tersebut bagi menentukan sama ada ianya benar ataupun tidak.
Katanya, jika masih tidak berpuashati, pihak PAS boleh membawa perkara itu ke mahkamah untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.