Tindakan setiausaha kerja Umno, Tengku Adnan Tengku Mansur melepaskan jawatannya itu atas alasan beban kerja yang banyak, telah mencetuskan spekulasi mengenai sebab sebenar beliau berbuat demikian.

Ini kerana beliau digantikan oleh Brig-Jen (Bersara) Datuk Husainay Hashim ( gambar ) ketika negara heboh dan terkejut dengan tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendakwa tokoh korporat dan orang kenamaan kerana kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah.

Husainay adalah ketua panel proaktif pilihanraya dibawah unit penyelidikan dan prancangan strategi Umno.

Semalam, Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan melakukan penyalahgunaan kuasa penjualan saham bernilai RM24 juta ketika menerajui Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (LPTS) lapan tahun lalu.

Dua hari sebelum itu, bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn Bhd Tan Sri Eric Chia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Selasa lalu atas tuduhan melaku pecah amanah melibatkan lebih RM76 juta 10 tahun lalu.

Akhbar tempatan melaporkan bahawa Tengku Adnan telah memaklumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan setiausaha kerja Umno kepada Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, Selasa lalu.

Menurut laporan tersebut, beliau ingin melepaskan jawatan tersebut yang disandangnya sejak 23 Jun 1999, kerana beban kerja yang banyak kerana jawatan-jawatan lain yang dipegangnya dalam kerajaan dan parti.

Selain menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan juga merupakan ketua perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, ketua penaja Umno bahagian Seputeh dan Putrajaya.

Mesin slot

Sebelum ini, Tengku Adnan menjadi sasaran hebat pemimpin pembangkang apabila mereka mendakwa beliau masih memiliki pegangan saham dalam syarikat Bukit Tinggi Resort yang mendapat lesen perjudian mesin slot.

Dakwaan itu dibuat bersama oleh ahli Parlimen Kubang Kerian Husam Musa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Saifuddin Nasution dan setiausaha perhubungan PAS Pahang, Dr Abdul Wahab Ismail.

Ianya berikutan laporan akhbar rasmi PAS Harakah yang mendakwa kerajaan telah meluluskan lesen bagi sebuah lagi pusat perjudian yang akan dibuka di Bukit Tinggi selepas Genting Highlands.

Bagaimanapun, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan tersebut dan berkata kerajaan tidak pernah mengeluarkan lesen operasi kasino di Bukit Tinggi tetapi lesen untuk operasi mesin slot di sebuah kelab di sana.

Tengku Adnan juga kemudiannya menafikan bahawa beliau masih memiliki saham dalam syarikat Bukit Tinggi Resort Sdn Bhd, sebaliknya berkata beliau telah menjual 60 juta sahamnya dalam syarikat berkenaan selepas dilantik sebagai timbalan menteri.

Setiap perkembangan politik mengenai Tengku Adnan akan menjadi perhatian umum kerana penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau adalah antara pemimpin Umno yang bertanggungjawab dalam konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar.

Pemimpin lain yang didakwa oleh penyokong Anwar terbabit dalam konspirasi itu ialah bekas Menteri Kewangan Tun Daim, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Aziz Shamsuddin dan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Megat Junid Megat Ayob, yang kini dilantik sebagai ketua penerangan Umno pusat.

Digugurkan

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali memberitahu bahawa nama Aziz dan Megat Junid tidak disenaraikan sebagai calon-calon Umno yang dicadangkan untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

Tindakan Tajol Rosli mengumumkan perkara itu telah menimbulkan spekulasi bahawa tindakan tidak menyenaraikan kedua-dua pemimpin Umno dari Perak itu mempunyai tujuan yang tersirat, lebih-lebih terdapat usaha dari pihak Umno untuk memujuk barisan kepimpinan Keadilan untuk kembali semula ke pangkuan Umno.

Dan semalam, Ruslan Kassim mengetuai sekumpulan 12 pemimpin kanan Parti Keadilan Nasional menyertai Umno secara rasmi dan sekaligus mengumumkan langkah keluar daripada parti itu.

Bagaimanapun, sumber-sumber Umno yang rapat dengan Tengku Adnan menafikan sekeras-kerasnya yang beliau melepaskan jawatan itu atas sebab-sebab lain daripada beban kerja yang terlalu banyak sekarang.

"Memandangkan pilihanraya umum akan diadakan pada bila-bila masa sahaja sekarang, masa beliau akan hanya tertumpu di ibu pejabat Umno Malaysia sekiranya beliau masih menjadi setiausaha kerja.

"Habis bagaimana beliau hendak menjalankan tugasnya secara berkesan sebagai ketua perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dan menteri yang menjaga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selain menjadi pengerusi penaja di bahagian Siputeh dan Putrajaya?," tegas sumber-sumber itu.

Kemungkinan besar, katanya, Tengku Adnan juga akan diberi peluang untuk bertanding salah satu kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan.

"Jadi, Tengku Adnan terpaksa memastikan beliau mempunyai yang cukup untuk memenuhi semua tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada beliau," tambah sumber-sumber itu lagi