Rundingan kecoh kerana tidak pegang pada janji
Rundingan di antara pemimpin Umno dan pemimpin tertinggi Keadilan yang ingin menyertai semula Umno kini kecoh kerana ada pihak terbabit yang tidak berpegang pada janji untuk merahsiakan perkara itu.
Rundingan di antara pemimpin Umno dan pemimpin tertinggi Keadilan yang ingin menyertai semula Umno kini kecoh kerana ada pihak terbabit yang tidak berpegang pada janji untuk merahsiakan perkara itu.
"Memang ada pertemuan-pertemuan tersebut...tetapi kedua-dua belah pihak telah berjanji tidak akan mengambil kesempatan daripadanya untuk kepentingan politik..." kata sumber-sumber yang rapat dengan pemimpin-pemimpin Umno yang terbabit dalam rundingan tersebut.
Sepatutnya, kata sumber-sumber itu, rundingan tersebut dirahsiakan daripada pengetahuan pihak-pihak lain sehinggalah satu persetujuan dicapai.
Bagaimanapun, katanya, ada pihak terbabit yang 'membocorkan' rahsia tersebut sehingga ianya hangatkan dilaporkan dalam Internet.
Isu berhubung rundingan pihak Umno dengan beberapa pemimpin kuat Keadilan, khususnya ketua Pemudanya, Mohd Ezam Mohd Noor menjadi perbualan hangat sejak beliau dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Malah, dalam ceramah pertamanya selepas dibebaskan, bertempat di kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim di Damansara, Ezam mengaku ada pihak-pihak dari Umno yang berusaha ke arah itu.
Bagaimanapun, Ezam menafikan yang beliau berminat untuk kembali menyertai semula Umno sepertimana yang diheboh-hebokan itu.
Gantung keahlian
Penafian Ezam itu meredakan isu tersebut tetapi ia hangat semula apabila timbul desas-desus bahawa setiausaha Pemuda Keadilan Lokman Adam, yang turut ditahan bersama Ezam di bawah ISA, dikatakan sedang memujuk beberapa pemimpin parti itu untuk kembali ke pangkuan Umno.
Apabila dihubungi malaysiakini untuk mengesah perkara tersebut, Ezam memberitahu bahawa Lokman telah dipecat daripada jawatan setiausaha Pemuda Keadilan kerana perbuatannya itu.
Majlis Tertinggi (MT) Keadilan juga dalam mesyuaratnya selepas itu, turut menggantung keahlian Lokman dalam MT sehingga selesai siasatan jawatankuasa khas terhadap tuduhan ke atas Lokman itu.
Dalam suratnya kepada mesyuarat MT tersebut, Lokman membuat beberapa dakwaan termasuk mempersoalkan kedudukan wang parti yang didakwanya mungkin telah disalahgunakan oleh Ezam.
Bagaimanapun, selepas mesyuarat MT pada hari berkenaan, Lokman telah membuat kenyataan menarik balik semua tuduhan yang dilemparkannya terhadap Ezam.
Namun begitu, 'perang mulut' di antara Lokman dan Ezam tidak berakhir begitu sahaja. Lokman yang tidak berpuashati dengan beberapa kenyataan yang dibuat oleh Ezam yang menyentuh dirinya, telah ' membongkarkan ' detik-detik pertemuan di antara Ezam dan beberapa pemimpin Umno.
Lokman mendakwa pemimpin-pemimpin Umno yang ditemui Ezam ialah naib presiden Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Menteri Besar Selangor Datuk Dr Mohd Khir Toyo dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Aziz Shamsuddin.
Prejudis
Ketika dihubungi
malaysiakini
hari ini, Tan Sri Muhd Taib enggan mengulas mengenai dakwaan yang dibuat oleh Lokman tersebut.
Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh 12 pemimpin parti Keadilan untuk kembali semula menyertai Umno.
Minggu lalu, ketua perhubungan Keadilan Negeri Sembilan, Ruslan Kassim mengetuai sekumpulan 12 pemimpin kanan parti itu menyertai Umno secara rasmi dan sekaligus mengumumkan langkah keluar daripada parti itu.
Muhd Taib menyifatkan tindakan mereka itu sebagai mencerminkan kepercayaan mereka terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membawa Umno ke tahap yang lebih cemerlang lagi.
Di samping itu, katanya, ia juga mungkin didorong oleh 'kesukaran' yang hadapi ketika berada di dalam parti mereka sebelum ini, dan oleh itu berminat kembali ke pangkuan Umno.
Malah, katanya, ia merupakan satu tamparan hebat terhadap kepimpinan Keadilan sekarang kerana begitu ramai orang kuatnya bertindak meninggalkan parti itu.
Ditanya sama tindakan 12 pemimpin Keadilan itu merupakan sebab utama mengapa BA yang dianggotai PAS dan Keadilan, dilihat mengambil masa untuk menyelesaikan isu pembahagian kerusi, beliau berkata:
"Kalau PAS ikhlas, parti itu mesti yakin dengan Keadilan dalam urusan pembahagian kerusi pilihanraya. Seperti kita dalam Barisan Nasional, Umno tidak pernah bersikap prejudis terhadap parti komponennya yang lain ketika membuat pembahagian kerusi..."
"Sebagai sahabat dalam satu pakatan kita mesti percaya mempercayai...misalnya, sepertimana dalam perkahwinan...macam mana nak kahwin kalau kita syak isteri kita curang...kerana itulah saya percaya pakatan mereka (BA) tidak boleh kekal..."

