Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menegaskan hari ini bahawa ianya tidak ada kena mengena dengan tindakan 12 pemimpin parti Keadilan meninggalkan parti itu dan menyertai semula Umno.

"Kita tidak ada kaitan dengan perkembangan politik terbaru itu," kata presidennya Azam Abdul Rahman ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Ditanya mengenai ada pihak yang menganggap Abim mempunyai peranan dalam memujuk mereka kembali semula ke pangkuan Umno, Azam berkata: "Tak betul tu...Abim tak ada peranan...dah tutup buku..."

Katanya, Abim tidak ada kaitan dengan perkembangan itu walaupun seorang daripada mereka, iaitu ketua perhubungan Keadilan Negeri Sembilan, Ruslan Kassim, dikaitkan dengan puak pro-Abim dalam Keadilan.

Minggu lalu, Ruslan mengetuai sekumpulan 12 pemimpin kanan parti itu menyertai Umno secara rasmi dan sekaligus mengumumkan langkah keluar daripada parti Keadilan.

Dalam pemilihan pucuk pimpinan parti November 2001, persaingan sengit berlaku di antara puak pro-Abim dan puak lain dalam Keadilan, khususnya bagi jawatan timbalan presiden yang sebelumnya telah dikosongkan oleh Dr Chandra Muzaffar.

Kesemua jawatan utama dipertandingkan, kecuali jawatan presiden yang dimenangi oleh Datuk Seri Wan Azizah tanpa bertanding.

Bermuzakarah

Jawatan timbalan presiden akhirnya dimenangi oleh Abdul Rahman Othman, selepas menewaskan calon dari puak pro-Abim, Dr Mohamad Nur Manuty.

Berikutan itu, barisan kepimpinan yang baru telah menawar untuk melantik mereka menganggotai majlis tertinggi parti. Kecuali Ruslan, kesemuanya menolak tawaran itu.

Puak dalam Keadilan yang dikaitkan dengan Abim juga pernah menjadi "sasaran" pihak yang tidak senang dengan tindak-tanduk mereka menentang usaha parti berhubung penggabungan Keadilan-Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Mengulas lanjut mengenainya, Azam berkata ahli-ahli pergerakan itu mempunyai hak untuk menyokong mana-mana parti politik yang mereka mahu.

"Pada asasnya, Abim adalah sebuah pertubuhan yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Terpulanglah kepada ahli-ahli untuk membuat keputusan mereka sendiri," jelasnya.

Ditanya mengenai scenario politik semasa, Azam berpendapat persaingan politik orang Melayu kini sudah menjadi tidak rasional lagi dan seolah-olah tidak memperdulikan lagi kepentingan yang lebih besar.

"Kita tetap berpendirian bahawa orang Melayu harus ada had dan batasan untuk berpolitik. Jika ia menjejaskan kepentingan umat, macam mana hendak duduk semeja untuk bermuzakarah," tambahnya.

Oleh itu, katanya, mesti ada 'suara lain' daripada parti-parti politik Melayu, untuk menekan mengenai isu-isu penting yang membabitkan orang Melayu, yang tidak boleh dikompromi.