Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kuil di Sg Petani buat laporan polis bantah kehadiran Anwar
Diterbitkan:  Jan 27, 2012 8:48 PM
Dikemaskini: 12:50 PM

Jawatankuasa Pengurusan Kuil Sri Subramaniam Swami Devasthanam di Sungai Petani hari ini membuat laporan polis bagi membantah kehadiran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di kuil itu pada 7 Februari depan sempena perayaan Thaipusam.

    

Pengerusi Pengurusan kuil itu S. Dorai Singam berkata pihak kuil membantah sekeras-kerasnya kehadiran Anwar bagi menjaga ketenteraman awam selain memelihara keselamatan masyarakat Hindu pada perayaan Thaipusam, yang ditakuti boleh terjadi perkara tidak diingini.

    

"Bimbang kerana lebih 100,000 orang akan hadir...apa akan berlaku sekiranya pergaduhan antara parti politik. Siapa akan bertanggungjawab terhadap keselamatan orang ramai dan penganut," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

    

Dorai Singam berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang permohonan daripada PKR berhubung kehadiran ketua umum parti itu ke kuil berkenaan selain e-mel yang menyatakan Ketua Pembangkang itu akan hadir memberi ceramah di kuil itu.

    

"Mereka tidak memohon kebenaran daripada pihak pengurusan kuil. Untuk ceramah dan masuk kuil kita tidak akan benarkan...hari itu hari keagamaan untuk sembahyang, bukan untuk ceramah-ceramah politik dan kita tidak mahu apa-apa ceramah dalam kawasan kuil sebab jawatankuasa tak jemput dan bantah sekeras-kerasnya," katanya.

    

Katanya beliau berharap pihak polis mengambil tindakan sewajarnya bagi menghalang kehadiran Anwar ke kuil bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

    

- Bernama

ADS