Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memulakan siri terakhir perjumpaan dengan para menteri besar bagi membuat keputusan muktamad mengenai senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding bagi kerusi negeri dan Parlimen.

Dalam perjumpaan tersebut Abdullah akan memutuskan senarai muktamad nama calon BN yang dikemukakan sebelum ini oleh para menteri besar yang juga ketua perhubungan Umno dan pengerusi BN negeri masing-masing.

Perjumpaan hari ini berlangsung di pejabat Abdullah di Putrajaya dengan tujuh orang menteri besar menghadirinya.

Malaysiakini

difahamkan antara menteri besar dan ketua menteri yang menemui Abdullah hari ialah Datuk Seri Mohd Khir Toyo (Selangor), Datuk Seri Musa Aman (Sabah) dan Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali (Perak).

Perdana Menteri juga turut mengadakan perjumpan dengan para pemimpin parti komponen BN, termasuk presiden Parti Progresif Rakyat Datuk M Kayveas, presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu, presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dan presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting.

Sumber-sumber yang mengetahui memberitahu bahawa perjumpaan dengan MB yang berlangsung hari ini membabitkan negeri-negeri yang dipercayai "mempunyai sedikit masalah" dengan senarai cadangan calon pihanraya yang mereka kemukakan sebelum ini.

Sebelum ini, Abdullah dilaporkan telah mengarahkan beberapa negeri supaya mengemukakan nama-nama tambahan kepada senarai calon yang dikemukakan bagi membolehkan beliau membuat pilihan yang terbaik.

Ramalan

Beliau juga dilaporkan sebagai berkata, kriteria utama pemilihan calon akan berdasarkan komitmen bakal calon kepada parti, mempunyai rekod yang bersih, serta yang boleh diterima pengundi.

Malaysiakini

juga diberitahu perjumpaan dengan menteri besar dan ketua menteri yang lain akan diadakan kemudian kerana difahamkan tidak banyak perubahan yang perlu dilakukan terhadap senarai nama yang mereka kemukakan kepada Abdullah.

Sementara itu, demam pilihanraya semakin ketara dengan pelbagai pihak membuat ramalan bahawa pilihanraya umum akan diadakan bulan depan.

Sehubungan itu, sumber-sumber memberitahu malaysiakini bahawa Abdullah dijangka membuat pengumuman mengenai pembubaran Parlimen Rabu depan, sebelum sessi Dewan Rakyat bermula pada 8 Mac, iaitu pada hari Isnin berikutnya.

Mengenai ramalan sesetengah pihak yang hari pengundian mungkin berlangsung pada 20 Mac depan, sumber-sumber berpendapat ita mungkin diadakan selepas tarikh tersebut.

"Setahu saya, Perlumbaan Formula One akan berlangsung pada 19 hingga 21 Mac. Saya tak fikir ianya sesuai untuk mengadakan pilihanraya sepanjang tempoh tersebut," tambahnya.

Oleh itu, kata sumber-sumber tersebut, pilihanraya umum kali ini mungkin diadakan sebelum 19 Mac atau selepas 21 Mac depan.