Beberapa penyokong kuat bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid turut disenaraikan semula dalam barisan calon Umno yang akan diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Umno Kedah, nama mereka turut dimasukkan ke dalam senarai tersebut selepas dicadangkan oleh bahagian masing-masing.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, Md Rozai Shafian; Adun Pantai Merdeka, Md Akhir Shafie dan Md Hassan Bulat, Adun Padang Matsirat, yang kini bertukar menjadi Ayer Hangat.

Dalam pilihanraya umum 1999, Md Rozai memenangi DUN Sungai Tiang dengan majoriti 2,530 undi, menewaskan calon PAS Abdul Rahim Abdul Rahman.

Md Akhir pula menewaskan calon PAS, Datuk Mohd Muslim Othman dengan majoriti 504 undi manakala Md Hassan menang di Padang Matsirat dengan majoriti 1,994 undi.

Manakala bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin dijangka bertanding bagi kawasan Parlimen Merbok yang sebelum ini diwakili oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Daim mengekalkan kerusi Parlimen tersebut pada 1999 dengan menewaskan calon Keadilan Mocktar Mansor dengan majoriti 15,376 undi.

Cadangan

Manakala seorang muka baru dijangka dipilih sebagai calon BN di kawasan Parlimen Jerai, yang sebelum ini dikenali sebagai Yan, yang kini diwakili oleh setiausaha agung PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Nasharuddin memenangi kerusi tersebut, dengan menewaskan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Badruddin Amiruldin dengan majority 182 undi.

Menurut sumber-sumber itu lagi, Menteri Besar Kedah, Datuk Syed Razak Syed Zin membuat cadangan calon itu berasaskan kepada cadangan yang dikemukakan oleh pihak bahagian masing-masing.

"Setahu saya, itulah kriteria yang digunakan oleh Menteri Besar, selaku pengerusi Umno Negeri dalam menyediakan senarai cadangan calon Umno untuk pilihanraya umum akan datang.

"Ini termasuklah beberapa penyokong kuat Tan Sri Sanusi yang setahu saya turut dicadangkan oleh bahagian masing-masing," tambahnya.

Bagaimanapun, kata sumber-sumber itu, ianya bukanlah senarai muktamad kerana ia akan dihalusi dan diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Senarai tersebut, katanya, dijangka diserahkan kepada perdana menteri melakukan lawatan kerja sehari ke Kedah hari ini.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Abdullah ke negeri ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober lalu.