Lebuhraya SILK: Penduduk Kajang Utama perlu laluan alternatif
Walaupun pembinaan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK) bakal memberi banyak faedah kepada pengguna jalanraya, tetapi di sesetengah tempat, ianya menyukarkan perjalanan keluar masuk penduduk, termasuk di Taman Kajang Utama.
Walaupun pembinaan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK) bakal memberi banyak faedah kepada pengguna jalanraya, tetapi di sesetengah tempat, ianya menyukarkan perjalanan keluar masuk penduduk, termasuk di Taman Kajang Utama.
Penduduk di situ mendakwa sebelum ini, semasa menggunakan jalan lama, mereka tidak menghadap masalah untuk ke Jalan Bukit dan turun ke Jalan Reko sama ada untuk ke bandar Kajang ataupun ke Bangi.
Bagaimanapun, dengan pembinaan lebuhraya tersebut dari Taman Prima ke Sungai Chua dan seterusnya ke Tol Kajang, telah menyebabkan jalan pintas ke Jalan Bukit akan ditutup.
Sebelum ini, mereka bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Dr Shafie Abu Bakar pernah mengadakan perbincangan dengan pengurus SILK, Encik Ang Kiew Chan berhubung masalah lalulintas penduduk Kajang Utama dan Kajang Sentral berikutan pembinaan lebuhraya tersebut.
Mereka membantah keadaan jalan yang dinaikkan taraf di Kajang Utama yang membahayakan pengguna jalanraya, serta membantah rancangan mendirikan rumah tol di Kajang Utama. Mereka turut membantah cadangan menggunakan pusingan-U sebelum tol di Kajang Prima.
Hari ini mereka bersama Dr Shafie berkumpul lagi apabila pihak SILK membina pembahagi jalan yang menutup persimpangan jalan berlampu isyarat ke Jalan Bukit, Ahad lalu.
Pembahagi jalan
Buat masa ini, mereka masih boleh menggunakan jalan tersebut kerana pihak pemaju masih membuka laluan di sebelah Jalan Bukit untuk ke Bandar Kajang.
"Tetapi apabila jalan sebelah lagi siap kelak dan kedua-dua belah jalan digunakan, maka mereka tidak boleh lagi berpusing ke Jalan bukit kerana pembahagi konkrit itu menutup laluan ke Jalan Bukit dan seterusnya ke bandar Kajang," kata Dr Shafie.
Berikutan itu, katanya, penduduk Kajang Utama yang hendak ke Jalan Bukit terpaksa turun ke Jalan Reko dan naik kembali ke Jalan Bukit yang jaraknya empat kali ganda jauhnya.
"Bagi penduduk Kajang Sentral, jaraknya lebih jauh lagi kerana mereka terpaksa naik ke tempat pusingan-U dekat Tol Kajang Prima untuk ke Kajang Utama dan untuk ke Jalan Bukit, sebagaimana yang dilalui penduduk Kajang Utama," tambahnya.
Bantahan tersebut turut disertai oleh beberapa peniaga di Taman Kajang Utama yang bimbang perniagaan mereka akan terjejas apabila taman tersebut "terasing" dengan taman-taman sekitar apabila lebuhraya itu siap kelak.
Menurut seorang peniaga, C K Yap, pada masa inipun keadaan perniagaan di deretan rumah kedai di taman itu tidak begitu menggalakkan, malah sebahagian besar rumah kedai telah lama kosong.
"Apa akan jadi apabila lebuhraya ini siap kelak, maka tidak ada lagi pelanggan yang akan datang dari Jalan Reko, Taman Jaya, Taman Bukit dan Taman Mewah kerana semua kawasan tersebut sudah berada di sebelah sana...," tegasnya.
Terowong
Sementara itu, Dr Shafie berkata, bagi keselesaan penduduk Kajang Utama dan Kajang Sentral, pihaknya telah mencadangkan supaya dibina jalan terowong dari Kajang Utama ke Jalan Bukit.
"Sebelum terowong dibina, pembahagi jalan tersebut hendaklah dibuka dan lampu isyarat di persimpangan itu dikekalkan bagi membolehkan penduduk Kajang Utama ke Jalan Bukit melalui jalan pintas.
"Atau menyediakan sistem Pusingan-U dengan lampu isyarat di bahagian jalan bawah, di antara pecahan jalan keluar ke Jalan Reko dari Kajang Utama dan Jalan dari Jalan Reko naik ke Jalan Bukit dan Kajang Utama.
"Lebih ideal lagi jika dibina laluan atas di lokasi Pusingan-U sebelum Tol Plaza Reko West, sebagaimana yang dibina sebelum lokasi Tol Plaza Reko East," tambahnya.
Di samping itu, katanya, pihak pemaju juga perlu membina jalan susur di antara Kajang Sentral ke Jalan Bukit sebagai jalan alternatif kepada pengguna.
"Sebahagian besar cadangan di atas memerlukan masa dan perbelanjaan yang besar, tetapi untuk keperluan semasa, pembahagi jalan di Jalan Bukit hendaklah dibuka dan lampu isyarat perlu dikekalkan.
Pusingan-U
"Jika tidak, perlulah diwujudkan Pusingan-U pada bahagian bawah, sebelum Tol Plaza Reko West," tambahnya.
Hasil desakan penduduk dan cadangan-cadangan termasuk pembinaan terowong tersebut, Dr Shafie berkata, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) telah menyatakan persetujuan untuk membina "laluan atas' di antara Jalan Kajang Utama ke Jalan Bukit.
"Ini termasuk kemungkinan membina terowong di antara kedua tempat tersebut. Bagaimanapun, kita berpendapat pembinaan terowong adalah yang paling praktikal kerana ia tidak memakan ruang yang panjang.
"Sebaliknya, pembinaan laluan atas itu akan membabitkan kawasan yang banyak dan panjang. Kawasan di situ tidak begitu luas untuk tujuan tersebut," tambahnya.
Pada masa ini, katanya, penduduk terbabit sedang menunggu perkembangan positif, terutama yang berkaitan pembinaan jalan terowong di antara Kajang Utama dan Jalan Bukit tersebut.
"Kita mengharap dan menjangka jika jalan ini dibina di peringkat awal sebelum jalan siap, maka ia akan mengurangkan kos pembinaan," tegasnya.

