Bekas Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dijadualkan mengadakan perjumpaan khas dengan para penyokongnya hari ini untuk membuat persiapan baginya bertanding kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihanraya umum kali ini.

Perjumpaan hari ini di Kelantan itu, bertujuan untuk menubuhkan jentera pilihanrayanya yang terdiri daripada 1,500 anggota kerja bagi membantunya berkempen selepas hari penamaan calon akan datang.

"Seramai 500 tenaga kerja akan ditempatkan di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pasir Mas," kata sumber-sumber yang rapat dengan Ibrahim.

Beliau mengakui memang ada perjanjian dengan pucuk pimpinan PAS negeri untuk tidak meletak calon parti itu di Pasir Mas bagi membolehkan Ibrahim bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN).

Ibrahim, 53, yang pernah beberapa kali melompat parti, dipercayai akan bertanding sebagai calon Bebas kerana sebelum ini beliau pernah berkata tidak akan meninggalkan Umno

"Setahu saya perjanjian itu bagi Parlimen Pasir Mas sahaja, manakala PAS akan tetap bertanding di tiga DUN di situ," tambah sumber-sumber itu.

Dalam pilihanraya pada tahun 1999, Ibrahim dikalahkan oleh calon Pas Haji Ismail Noh di kerusi Pasir Mas. Ismail memperolehi 23,967 undi berbanding dengan 15,392 oleh Ibrahim.

Parlimen Pasir Mas mempunyai tiga kerusi DUN - Tendong, Pengkalan Pasir dan kerusi Cetok. Ketiga-tiganya dimenangi oleh calon PAS pada tahun 1999.

Tidak puashati

"Itulah yang diberitahu...tak tahulah sama ada PAS akan berpegang atau tidak, pada janji tersebut," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Kemungkinan besar BN akan meletakkan ketua penaja Umno Pasir Mas, Datuk Rahim Abdul Rahman bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

"Jika PAS memberi laluan, peluang untuk Datuk Ibrahim menang di situ amat cerah, kerana beliau bukan sahaja mendapat sokongan ahli PAS tetapi juga dari ahli Umno yang tidak berpuashati dengan tindakan menggugurkan beliau daripada jawatan ketua Umno bahagian tersebut," tambahnya.

Umno pusat telah melantik ahli jawatankuasa penaja Umno di seluruh negara berikutan persempadanan semula kawasan pilihanraya yang menyebabkan banyak bahagian Umno telah terpecah dan masuk ke kawasan baru.

Bagaimanapun, Majlis Tertinggi Umno menggugurkan empat ketua bahagian di Kelantan daripada senarai jawatankuasa penaja parti di negeri itu.

Selain Ibrahim di bahagian Pasir Mas, yang lainnya ialah ketua bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah; Datuk Ahmad Shahabuddin Mohd. Noor (Bachok) dan Tuan Hashim Tuan Yaacob (Kubang Krian).

Penghinaan

Tempat mereka diganti oleh Datuk Romzi Abdul Rahman (Kuala Krai), Datuk Dr Awang Adek Hussin (Bachok), Datuk Rahim Abdul Rahman (Pasir Mas) dan Datuk Ahmad Rosli Ibrahim (Kubang Kerian).

Ibrahim yang tidak berpuashati dengan keputusan itu sebelum ini menegaskan yang beliau perlu menebus maruahnya sebagai seorang ahli politik yang "telah menerima penghinaan daripada pimpinan tertinggi Umno Kelantan".

"Saya masih menyayangi Umno...tapi nampaknya Umno tidak lagi menyayangi saya...," tegasnya dalam satu laporan malaysiakini sebelum ini.

Ibrahim pertama kali bertanding sebagai calon BN dalam pilihanraya 1986 dan memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dengan majoriti 3,808 undi.

Walaupun dalam pilihanraya 1990 Ibrahim bertanding sebagai calon Parti Semangat 46, beliau bagaimanapun berjaya menewaskan calon BN Hanafi Mamat, dengan majoriti besar, lebih daripada 9,290 undi.

Ibrahim kembali semula ke pangkuan Umno pada 1991 tetapi gagal dalam dua percubaannya di Pasir Mas atas tiket BN dalam pilihanraya umum 1995 dan 1999.