Teka-teki mengenai kedudukan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zin dalam pilihanraya umum kali ini akan terjawab apabila senarai nama calon Barisan Nasional (BN) bagi negeri itu diumumkan pagi esok.

Ini berikutan spekulasi hebat di arena politik tempatan, serta di kalangan media bahawa ramai menteri besar dan ketua menteri dijangka dipindahkan bertanding di kerusi Parlimen bagi memberi peluang kepada muka baru.

Syed Razak dijadualkan mengumumkan senarai calon tersebut pada jam 10.30 pagi esok di kediaman rasminya di Alor Star.

Beliau dikatakan akan bertanding kerusi Parlimen dan tidak akan mempertahankan kerusi negeri Kubang Rotan yang dimenangi dalam pilihanraya umum 1999.

Perpindahan itu juga difahamkan bertujuan untuk membolehkan calon-calon muda yang berkelayakan disenaraikan bertanding menentang calon-calon pembangkang, terutama PAS, yang mendakwa berupaya menawan Kedah dalam pilihanraya umum kali ini.

Dalam pilihanraya umum 1999, PAS berjaya memenangi 12 daripada 36 kerusi negeri di Kedah dan lapan daripada 15 kerusi Parlimen. Umno pula memenangi 16 kerusi negeri manakala parti komponen BN yang lain - MCA (4), Gerakan (2) dan MIC (1).

Dalam pilihanraya kecil Lunas pada 2001, Keadilan berjaya menewaskan calon BN dan sekaligus menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Undangan Negeri.

Berpindah

Sementara itu, Syed Razak telah menemui Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya pagi ini untuk mendapatkan senarai muktamad nama calon BN bagi negeri Kedah.

Selain Syed Razak, turut disebut bakal dipindahkan ke pusat ialah Datuk Seri Shahidah Kassim (Perlis), Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali (Perak), Tan Sri Isa Samad (Negeri Sembilan), Tan Sri Abdul Ghani Othman (Johor) dan Datuk Ali Rustam (Melaka).

Umno yang akan bertanding di 28 kerusi negeri dan 13 kerusi Parlimen di Kedah dijangka mengemukakan hampir 50 peratus muka-muka baru. Mereka termasuk naib ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan ketua penerangan pergerakan tersebut, Datuk Azimi Daim.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 10 muka baru akan diletak bertanding kerusi Parlimen, termasuk di Kubang Pasu, Merbok, Jerlun, Kuala Kedah, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Baling dan Sik.

Muka-muka baru yang lain termasuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail, pengarah urusan syarikat milik kerajaan negeri, yang dijangka bertanding di Parlimen Jerai, dan Ketua Wanita Umno Jerlun, Maznah Abd Hamid bagi Parlimen Jerlun.

Turut dijangka disenaraikan ialah setiausaha kerja Umno negeri, Ariffin Man, setiausaha kerja BN negeri, Datuk Mohamed Yaakob dan setiausaha politik perdana menteri, Mahadzir Khalid.