Sabah - Musa gugur timbalan menteri dan pembantu menteri
Timbalan timbalan ketua menteri, seorang setiausaha parlimen dan beberapa pembantu menteri dan penyandang, digugurkan dalam barisan calon Barisan Nasional (BN) yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman hari ini.
Timbalan timbalan ketua menteri, seorang setiausaha parlimen dan beberapa pembantu menteri dan penyandang, digugurkan dalam barisan calon Barisan Nasional (BN) yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman hari ini.
Mereka ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Tham Nyip Shen, Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Rizalman Abdullah; Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Siringan Gubat dan Pembantu Menteri Pembangunan Sumber Datuk Nahalan Damsal.
Turut tidak disenaraikan ialah bekas ketua menteri Sabah Datuk Osu Sukam, bekas timbalan menteri kerjaraya Datuk Railey Jeffrey (penyandang bagi parlimen Silam dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Mannan Jakasa, yang melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung.
Pada keseluruhannya, 29 muka baru dikemukakan bagi bertanding di 60 kerusi DUN dan 11 muka baru bagi 25 kerusi parlimen. Manakala antara yang dikekalkan telah bertukar kawasan dari negeri ke parlimen dan sebaliknya.
Setelah tidak bertanding dalam pilihanraya umum 1999, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Pandikar Amin Mulia, kini kembali bertanding bagi DUN Tempasuk. Beliau yang merupakan Ketua Penaja Umno Bahagian Kota Marudu, tidak bertanding pada pilihanraya 1999.
Lima calon wanita disenaraikan termasuk ketua penaja Puteri Umno Sabah Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang merupakan wanita tunggal bertanding kerusi parlimen, menggantikan Osu di Papar.
Calon wanita
Empat calon wanita bagi kerusi DUN ialah - Jornah Mozihim (Matunggong), Jainab Datuk Ahmad (Karambunai), Melanie Chia Chui Ket (Luyang) dan Datuk Sarinum Sadikun yang mempertahankan kerusi Lumadan yang dimenanginya pada pilihanraya negeri 1999.
Dua Adun berpindah ke kerusi parlimen Datuk Abdul Ghapur Salleh bagi kerusi baru Kalabakan dan Samsu Baharun Abdulrpi Rahman bagi Silam, menggantikan Railey.
Dua dua penyandang kerusi parlimen yang bertukar kawasan ialah Timbalan Menteri Perusahaan Utama Datuk Anifah Aman dari Beaufort ke kawasan baru Kimanis dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Yee Moh Chai dari Tanjung Aru (dinamakan semula Putatan) ke ke Kota Kinabalu.
Parti Maju Sabah (SAPP), mengejutkan komuniti Kadazandusun apabila mereka memutuskan untuk meletakkan naib presiden Eric Enchin Majimbun bagi kerusi parlimen Sepanggar (dahulunya Gaya).
Perjanjian Umno Sabah bagi "satu kerusi, satu calon" juga berkuatkuasa pada pilihanraya kali ini
Peraturan berkenaan bagaimanapun tidak berlaku di parti-parti komponen yang lain.
Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah, Datuk Salleh Tun Said melepaskan kerusi negeri Usukan, dan hanya bertanding mempertahankan parlimen Kota Belud. Manakala Amir Kahar Tun Mustapha pula melepaskan kerusi Parlimen Marudu (dulu Kudat) dan mengekalkan kerusi negeri Banggi.
Bernard Dompok
Presiden PBS Datuk Joseph Pairin Kitingan bagaimanapun, akan mempertahankan kedua-dua kerusi yang disandangnya - Parlimen Keningau dan DUN Tambunan. Timbalannya, Datuk Dr Maximus Ongkili pula mempertahankan parlimen Kota Marudu (dulu Bandau) dan DUN Tandek.
Kecuali SAPP yang presidennya Datuk Yong Teck Lee tidak dapat bertanding disebabkan oleh perintah Mahkamah Tinggi, semua parti komponen di Sabah mencalonkan presiden mereka.
Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok mempertahankan kerusi parlimen Ranau (dulu Kinabalu), Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup (DUN Sook) dan Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) Datuk Chong Kah Kiat (DUN Tanjong Kapor, dulu Kudat).
Musa, yang merupakan pengerusi BN Sabah dan Ketua Perhubungan Umno Sabah, akan mempertahankan kerusi negeri di Sungai Sibuga.
Sementara itu, di Kelantan, hampir keseluruhan calon Barisan Nasional bagi negeri Kelantan merupakan muka-muka baru yang diharapkan dapat memberi tentangan hebat kepada parti PAS dalam pilihanraya umum kali ini.
Seperti yang diramalkan kesemua pemimpin utama Umno Kelantan bertanding bagi kerusi Parlimen, dengan pengerusi Umno negeri, Datuk Mustapha Mohamed di Parlimen Jeli.
Timbalannya, Datuk Zaid Ibrahim dicalonkan di kerusi Parlimen Kota Bharu, diikuti oleh bendahari Umno negeri, Datuk Dr Awang Gadek Husin di Bachok.
Kerusi negeri
Manakala Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengekalkan kerusinya di Parlimen Gua Musang. Turut dikekalkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno di Paluh, Nozula Mat Diah, dan Adun Galas, Mohamad Saufi Deraman.
Bagi memantapkan lagi barisan calon BN kali ini, empat pemimpin Umno negeri yang sebelum ini bertanding kerusi Parlimen kali ini diletakkan membawa cabaran di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mereka ialah Datuk Annuar Musa di kerusi DUN Kok Lanan, Datuk Hashim Safin (Gual Ipoh) dan Kamaruddin Mohd Nor (Semerak).
Sementara itu di Negeri sembilan, Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad yang menjadi menteri besar sejak 22 tahun lalu, akan bertanding di Parlimen Jempol.
Beliau akan menggantikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Khalid Yunus yang tidak dicalonkan semula. Mohamed Isa, 54, sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi sejak 1978.
Di Perlis, Sah Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Harun Din akan bertembung dalam pilihanraya umum kali ini apabila kedua-duanya akan berentap di DUN Tambun Tulang.
Berpindah
Dalam Senarai calon BN Perlis yang diumumkan hari ini, Shahidan mengesahkan yang beliau akan bertanding mengekalkan kerusi tersebut. Manakala PAS mengumumkan semalam yang Harun akan bertanding di kerusi tersebut.
Menurut senarai tersebut, Datuk Azmi Khalid akan mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar manakala dua pemimpin veteran Umno Perlis Datuk Radzi Sheikh Ahmad diletakkan bertanding di Parlimen Baru.'
Bagi Parlimen Arau, BN negeri mencalonkan muka baru, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail. Penyandangkan sebelum ini, Mastika Junaidah Husin berpindah ke kerusi DUN.
Bagi kerusi DUN, BN Perlis mengemukakan enam muka baru, manakala Datuk Zahidi Zainul Abidin kekal di Beseri, Azihani Ali (Sena) dan Datuk Abu Bakar Ismail (Pauh).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.