Barisan Nasional (BN) menerima tamparan pertama apabila senarai calonnya bagi pilihanraya umum kali ini terpaksa ditukar kerana 'masalah teknikal".

Hari ini, penerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan penukaran calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong.

Nama calon yang diumumkannya semalam, Ahmad Hussin telah dikeluarkan dari senarai pencalonan, dan digantikan oleh seorang peniaga Rosli Mat Husin.

Pertukaran nama itu terpaksa dibuat selepas timbul bantahan daripada ahli-ahli Umno di kawasan DUN tersebut yang mahukan Rosli dicalonkan di situ.

Malaysiakini

difahamkan bahawa Ahmad adalah penyokong Shahidan manakala Rosli pula adalah orang Datuk Radzi Sheikh Ahmad yang bertanding di kerusi Parlimen Kangar.

Bintong adalah salah satu daripada lima kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Kangar. Yang lainnya ialah Sena, Indera Kayangan, Kuala Perlis dan Kayang.

Dalam pilihanraya umum yang lalu, BN memenangi kerusi DUN Bintong, Sena dan Kayang, masing-masing dengan 306, 544 dan 311 undi. Manakala kerusi Indera Kayangan dimenangi BN dengan 1,974 dan Kuala Perlis 1,320 undi.

Bantahan di tempat lain

Radzi adalah ketua Umno bahagian Kangar manakala Rosli adalah salah seorang ahli jawatankuasa Umno bahagian berkenaan.

Malaysiakini

juga diberitahu bahawa bantahan juga berlaku di beberapa lagi kerusi yang calon-calonnya dipercaya adalah penyokong Shahidan.

Manakala mereka yang membantah yang mahu calon-calon berkenaan diganti adalah dikatakan terdiri kalangan penyokong Radzi.

Satu lagi kerusi DUN yang menerima bantahan ialah Pauh di mana ketua penerangan Umno Perlis, Datuk Abu Bakar Ismail dipilih semula untuk mempertahankannya.

Sebelum ini pun sudah timbul desas-desus bahawa Shahidan akan dipindahkan bertanding di kerusi Parlimen, manakala Radzi pula bertanding di kerusi negeri bagi membolehkannya dilantik menjadi menteri besar yang baru.

Bagaimanapun, selepas senarai calon BN diumumkan semalam, Radzi diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Kangar, manakala Shahidan pula kekal bertanding di kerusi DUN Tambun Tulang yang dimenanginya dengan 877 undi pada 1999.

Bagaimanapun, Shahidan kali ini terpaksa berdepan dengan lawan yang dianggap mungkin boleh menggugatkan kedudukannya di situ apabila PAS mencalonkan ketua penerangannya Datuk Dr Harun Din bertanding di kerusi yang sama.