Pengundi DUN Sungai Tiang tidak kenal calon BN?
Dr Abdullah (bukan nama sebenar) mengendalikan klinik di sebuah kawasan di dalam kerusi Parlimen Pendang. Sebagai seorang doktor yang berkhidmat di kawasan perkampungan, hubungannya dengan para pengunjungnya boleh dianggap rapat.
Dr Abdullah (bukan nama sebenar) mengendalikan klinik di sebuah kawasan di dalam kerusi Parlimen Pendang. Sebagai seorang doktor yang berkhidmat di kawasan perkampungan, hubungannya dengan para pengunjungnya boleh dianggap rapat.
Kalau sebelum ini, beliau menghabiskan masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk memeriksa sambil berbual mesra dengan para pesakitnya, tetapi di musim pilihanraya ini, masa itu bertambah menjadi sehingga 3 jam.
Sekali imbas, kalau diambilkira soal perniagaan, memanglah rugi melayan pesakit terlalu lama kerana ia akan mengurangkan jumlah pengunjung yang dapat dirawatinya.
Tetapi Dr Abdullah tidak kisah kerana sekurang-kurangnya beliau dapat mengurangkan tekanan yang dialami oleh pesakit apabila beliau dengan tekun mendengar luahan hati mereka.
"Kebanyakan mereka ini, yang agak berumur, meluahkan rasa tidak puashati kepada saya kerana calon yang tidak mereka kenali diletakkan bertanding di tempat mereka," kata Dr Abdullah ketika saya mengunjunginya untuk mendapat rawatan sakit perut yang saya alami sejak tiba ke Kedah kelmarin.
Sebelum ini, usaha saya untuk menemui calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pendang, Rozai Shafian, yang juga merupakan rakan sekelas saya dulu, tidak kesampaian.
Tukar kerusi
Ketika saya menelefonnya, Rozai memberitahu saya yang beliau tidak mempunyai masa untuk menemui saya kerana terlalu sibuk berkempen.
Dr Abdullah begitu ghairah menceritakan semua itu selepas saya memperkenalkan diri saya sebagai wartawan malaysiakini yang datang untuk membuat liputan pilihanraya umum kali ini.
Secara Dr Abdullah juga mengenali seorang rakan lama saya ketika saya bertugas di sebuah akhbar media perdana sebelum ini.
Menurutnya, mereka bersungut kerana calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang di bawa dari luar dan tidak begitu dikenali oleh penduduk tempatan.
Selain DUN Sungai Tiang, Parlimen Pendang juga mempunyai satu lagi kerusi negeri, iaitu DUN Tokai, yang sebelum ini dikenali sebagai Bukit Raya, yang dimenangi oleh PAS pada 1999.
"Kerusi berkenaan sebelum ini disandang oleh Rozai Shafian tetapi beliau kini diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Pendang. Ada juga ada pengunjung klinik saya, termasuk dari kalangan orang Cina, hairan dengan pertukaran itu, kerana mereka nampaknya lebih selesa dengan ahli Parlimen dulu, Osman Abdul.
Majoriti nipis
"Lagi pula, mereka seperti tidak percaya yang Osman yang baru sahaja dua tahun memenangi kerusi Parlimen Pendang dalam pilihanraya kecil sebelum ini digugurkan kali ini," tambahnya.
Dalam pilihanraya kecil yang diadakan pada bulan Julai 2002, berikutan kematian penyandangkan Datuk Fadzil Noor, Osman menang dengan majoriti nipis 283 undi.
Menurutnya, calon BN bagi kerusi DUN Sungai Tiang itu ialah Suraya Yaacob, yang merupakan muka baru dan pemimpin Puteri Umno Kedah.
"Saya mendapat tahu Suraya adalah calon dari luar dari Kuala Kedah. Kalau perkara itu betul, sudah tentulah penduduk di Sungai Tiang tidak kenal siapa Suraya," tambahnya.
Ketika ditanya reaksi pengunjung terbabit terhadap pemilihan Suraya bertanding di situ, Dr Abdullah berkata: "Tak tahu lah sama ada mereka serius atau tidak, tetapi sebilangannya berkata mereka mungkin tidak keluar mengundi!"
Sentimen
Ketika ditanya lagi mengapa mereka membuat keputusan sedemikian, beliau berkata: "Mereka berkata macam mana nak undi, kalau calon pun tak kenal."
Beliau juga tertanya-tanya apakah pihak berkenaan tidak mengambilkira langsung kecenderungan para pengundi apabila memilih calon-calon untuk mewakili kawasan baru dalam piliharaya umum yang penting ini.
Pertemuan dengan Dr Abdullah itu, walaupun hanya 30 minit, tetapi ia telah memberi gambaran yang amat berguna terhadap sentiment pengundi di kawasan Parlimen Pendang dan kerusi Sungai Tiang.
Tidak pastilah sama ada keputusan kepimpinan Umno negeri untuk meletakkan Suraya di situ berasaskan kepada keputusan pilihanraya umum 1999 di mana Rozai menang dengan majoriti besar 2,530 undi.
Kawasan Parlimen Pendang mempunyai seramai 57,180 pemilih dengan majoritinya (87.51 peratus) adalah orang Melayu. Yang lainnya adalah kaum Cina dan kaum Siam.
Manakala jumlah pengundi di DUN Sungai Tiang ialah seramai 27,926 orang denan 85 peratus pengundi Melayu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.