Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PKR hari ini mendakwa bahawa pengarah National Feedlot Corporation menggunakan pinjaman mudah oleh kerajaan bagi memudahkan pembelian lapan hartanah komersial di Bangsar, Kuala Lumpur.

Pengarah strateginya, Rafizi Ramli mendakwa pengerusi eksekutif NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail telah menggunakan kawalan ke atas dana berkenaan untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli lapan lot kedai itu.

NONE "Dana awam yang diberikan kepada NFC untuk mengusahakan projek fidlot telah diselewengkan untuk dijadikan jaminan bagi mendapatkan pinjaman peribadi dan dibelanjakan dengan membeli hartanah di atas nama peribadi mereka," dakwanya pada sidang media hari ini.

Rafizi yang memetik dokumen bank, sebahagiannya diedarkan kepada wartawan, mendakwa unit kedai KL Eco City itu dibeli pada nilai tebusan pinjaman RM9.69 juta.

Bercakap di ibu pejabat PKR hari ini, Rafizi menganggarkan bahawa nilai pasaran hartanah berkenaan boleh mencecah sehingga RM12 juta.

NONE "Berdasarkan harga pasaran semasa unit komersial di KL Eco City iaitu RM1,000 hingga RM1,100 setiap persegi dan kami anggar harga pasaran semasa unit ini boleh mencecah RM12 juta," dakwanya lagi.

Rafizi juga mendakwa pembelian itu dibuat dengan menggunakan pinjaman oleh Mohamad Salleh dan individu lain yang setakat ini masih belum dapat dikenalpastinya.

Rafizi mengemukakan beberapa dokumen bank sebagai bukti bahawa Mohamad Salleh dan pengarah NFC diberikan pinjaman bersama itu melalui kawalan ke atas akaun syarikat berkenaan.

Dokumen yang didedahkannya itu menyebut, NFC mempunyai simpanan sebanyak RM71.4 juta di dalam akaun di sebuah bank.

Dokumen itu seterusnya menyatakan bahawa Mohamad Salleh hanya mempunyai RM421 di dalam akaunnya di bank tersebut pada satu masa, namun tetap diberikan pinjaman berjumlah RM4,391,240 untuk membeli hartanah.

Selain itu, dokumen itu juga menunjukkan bahawa Mohamad Salleh telah bertindak sebagai penjamin untuk satu lagi pinjaman berjumlah RM663,743.

Ia turut menunjukkan bahawa dua lagi syarikat yang turut dimiliki Mohamad Salleh – National Meat and Livestock Corporation (NMLC) dan Agroscience Industries masing-masing merekodkan baki sebanyak RM1,872,254 dan RM197,338 melalui akaun di bank sama.

Rafizi mendakwa, pembelian hartanah tersebut, yang setiap satunya bernilai antara RM1.1 juta hingga RM1.56 juta dibuat oleh ahli keluarga Mohamad Salleh.

Rafizi mendakwa perkara itu telah disahkan oleh satu sumber beliau, yang tidak didedahkan. [Baca berita penuh]

Sementara itu, NFC menafikan laporan media yang menyatakan bahawa pengarah NFC telah menggunakan pinjaman mudah kerajaan bagi memudahkan pembelian lapan hartanah komersial di Bangsar.

Dalam satu kenyataan malam ini, NFC berkata, hartanah ini tidak dibeli oleh syarikat itu.

Pembelian itu, katanya, adalah pelaburan individu pengarahnya.

 

VIDEO| 13.50 minit

 

 

ADS