Usaha terakhir bantu calon Umno di Kedah
Umno Kedah telah mengambil langkah segera untuk mempertingkatkan lagi jentera pilihanrayanya di seluruh negeri berikutan laporan mengenai penguasaan PAS di majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.
Umno Kedah telah mengambil langkah segera untuk mempertingkatkan lagi jentera pilihanrayanya di seluruh negeri berikutan laporan mengenai penguasaan PAS di majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.
Ternyata beberapa anggota jentera pilihanraya Umno Kedah, tersentak dengan laporan malaysiakini mengenai keyakinan PAS untuk menawan 9 daripada 15 kerusi DUN di Perlis dan 22 daripada 36 DUN di Kedah dalam pilihanraya umum kali ini.
Mereka telah menghubungi malaysiakini untuk mendapat maklumat lanjut dan kesahihan mengenai perkara tersebut.
Malah, mereka menjadi lebih gelisah lagi apabila diberitahu bahawa keyakinan PAS untuk menang kerusi-kerusi DUN tersebut adalah berpunca daripada kemelut dalam Umno sendiri, khususnya berhubung soal pemilihan calon.
Malaysiakini
melaporkan bahawa pertukaran calon pada saat-saat akhir telah mengecewa mereka yang tersenarai sebagai calon sebelumnya sehingga ada yang mahu memulaukan kempen kali ini.Mereka juga mengakui mendapat maklumbalas mengenai kekurangan poster dan bendera Barisan Nasional (BN) dan Umno yang dibekalkan ke kawasan Parlimen dan DUN di Kedah.
Berikutan itu, di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan parti PAS, poster dan bendera parti itu telah menenggelami poster dan bendera Umno dan BN.
Calon luar
Mereka juga akan mengambil kira maklum balas mengenai ada pengundi termasuk di DUN Sungai Tiang yang mengadu tidak mengenali calon mereka, kerana dia dibawa dari luar.
Calon bagi kerusi DUN Sungai Tiang ialah Suraya Yaacob yang merupakan pemimpin Puteri Umno Kedah yang berasal dari Kuala Kedah.
Menurut mereka, langkah segera akan diambil untuk memastikan kehadiran calon-calon yang dibawa dari luar, termasuk Suraya sendiri, dapat dirasai oleh pengundi di kerusi masing-masing.
"Misalnya, calon BN di Baling Dr Masitah Ibrahim, memang sudah terkenal sebelum inijadi tak susah bagi pengundi mengetahui mengenai kehadirannya di sana...," tambah mereka.
Masitah akan berdepan dengan calon PAS Taib Azamuddin Mohd Taib, yang menang kerusi Parlimen ini pada tahun 1999 dengan mengalahkan calon Umno Bahadur Shah Mat Isa dengan kelebihan undi 1,394.
Mereka juga akan menyiasat sama ada benar dakwaan bahawa siri kempen tidak dijalankan sepertimana yang dirancangkan sepanjang empat hari lalu untuk mengetahui puncanya.
Dengan mengambilkira semua perkara tersebut, difahamkan Umno akan melancarkan kempen yang lebih agresif lagi dalam tempoh tiga hari terakhir ini sebelum pengundian diadakan Ahad ini.

