Para penyokong Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, bagi kerusi Parlimen Baling sudah tidak sabar-sabar lagi menunggu ketibaan hari mengundi Ahad ini, kerana yakin calon mereka Datuk Dr Mashitah Ibrahim mampu merampas semula kerusi tersebut dari PAS.

Populariti Dr Mashitah yang merupakan seorang pakar motivasi dan bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), begitu ketara sekali, terutama dari kalangan kaum wanita, yang merupakan peratus teramai pengundi.

Contohnya, malam tadi, mereka bertumpu di markas-markas BN di dalam DUN Bayu dan sanggup menunggu ketibaannya sehingga lewat malam, semata-mata mahu bertemu Dr Mashitah.

Menurut seorang pengunjung markas BN di Batu 8, Baling yang dikenali sebagai Pak Cik Ismail, keadaan yang sama berlaku ketika Taib Azzamuddeen ( kanan ) dipilih mewakili PAS bagi Parlimen Baling pada tahun 1999.

"Semua orang mahu menemuinya kerana beliau sudah terkenal ketika itu, dan sering muncul di kaca TV. Kini giliran Dr Mashitah pula," katanya sambil menjeling ke arah sebuah lori yang membawa pekerja PAS yang melintas di hadapan markas BN tersebut.

Malam tadi, Dr Mashitah mengunjungi hampir 15 markas pilihanraya BN di kawasan Dewan Udangan Negeri (DUN) Bayu salah satu daripada tiga kerusi DUN dalam Parlimen Baling yang dimenangi BN pada 1999 dengan majority 2,361 undi.

Rampas semula

Dua lagi DUN ialah Kupang dan Kuala Ketil. Pada 1999, PAS memenangi DUN Kuala Ketil dengan majority 3,043 undi manakala DUN Kuala Ketil dimenangi BN dengan majority 2,622 undi.

Bagaimanapun, Dr Mashitah hanya sempat memberi ucapan ringkas memperkenalkan dirinya di setiap markas yang dikunjungi kerana kesuntukan masa.

Anak keempat daripada lima beradik, Dr Mashitah, 40, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultanah Asma dan pendidikan menengah di Maktab Mahmud, kedua-duanya di Alor Star.

Beliau melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir sehingga memperolehi ijazah Sarjana Muda (Tafsir dan Hadis) Kepujian pada 1978. Beliau menyambung pengajian di peringkat sarjana di UIA dalam bidang yang sama dan memperolehi Sarjana Pengajian Ilmu Wahyu dan Warisan Islam pada 1992.

Dr Mashitah menyambung pengajiannya di peringkat doktor falsafah di Universiti Darul Ulum, Kaherah, dalam pengkhususan Tafsir dan Hadir sehingga mendapat Doktor Falsafah pada 1997.

Selain Dr Mashitah, dalam pilihanraya umum kali ini, BN diwakili Mohd Salleh Yaacob bagi DUN Bayu, Ismail Abu Bakar (Kupang) dan naib ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Aziz Sheikh Fadzir (Kuala Ketil).

Sebelum ini, Parlimen Baling hanya mempunyai DUN Bayu dan Kupang. Bagaimanapun, selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya, DUN Kuala Ketil turut dimasukkan ke dalam kawasan Parlimen Baling.

Kehadiran pengundi bangsa Cina yang dianggap tinggi iaitu 8.7 peratus dan pengundi India (11.91 peratus), maka peluang untuk Dr Mashitah memenangi kerusi Parlimen Baling amat cerah, memandangkan penyandangnya Taib Azzamuddeen Md Taib dari PAS menang pada 1999 dengan majoriti 1,414 undi.

Perang poster

Keyakinan kepimpinan Umno di Baling semakin meningkat, berikutan langkah PAS meletakkan Taib bertanding di kerusi Parlimen Baling dan kerusi DUN Bayu.

"Ini memberi isyarat bahawa PAS tidak begitu calonnya mampu mempertahankan kerusi Parlimen Baling. Jadi calon yang sama diletakkan juga bertanding bagi kerusi DUN Bayu," kata seorang pekerja yang ditemui di pejabat Umno Baling.

Berikutan itu, katanya, Umno Baling juga berkeyakinan bahawa BN mampu untuk memenangi kesemua kerusi DUN di Baling dalam pilihanraya umum kali ini.

"Pemilihan Dr Mashitah sebagai calon memang satu keputusan yang cukup tepat sekali. Pada umumnya, kami yakin akan menang insyaallah," tambahnya.

Manakala perang poster di antara kedua-dua pihak adalah seimbang di semua kawasan Bandar Baling dan jalan-jalan utama yang menuju ke kerusi DUN yang lain.

Kira-kira jam 12 tengah malam tadi, sekumpulan pekerja PAS beramai-ramai memasang poster tambahan parti itu di sekitar bandar Baling.