Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) menyambut baik penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi yang akan menyalurkan geran kewangan untuk menerapkan budaya penyelidikan di kalangan mahasiswa.

Yang Dipertua MPMUM, Muhd Ramadhan Fitri Ellias, berkata pemberian geran kewangan tersebut akan menyemarakkan kegiatan penyelidikan dalam bidang-bidang tertentu yang sebelum ini hanya diperuntukkan kepada para pensyarah.

Beliau juga menyifatkan penubuhan kementerian tersebut bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang bertaraf dunia.

Bagaimanapun, katanya, kualiti para pensyarah juga perlu terus ditingkatkan dalam menjamin kualiti dan prestasi pengajian tinggi di negara ini.

Menurut Muhd Ramadhan lagi, hanya 20 peratus tenaga akademik yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dan jumlah ini ternyata kecil berbanding dengan negara-negara maju di dunia.

Justeru, katanya skim-skim pembiayaan pengajian lanjutan perlu diperbanyakkan bagi melahirkan tenaga akademik yang berwibawa dan berkualiti.

Menurut beliau lagi, sektor pendidikan tinggi sememangnya penting dan memerlukan fokus yang lebih dan pengkhususan yang lebih berkesan.

"Selain itu, peluang pendidikan tinggi juga perlu diperluaskan bagi meningkatkan jumlah warganegara yang memiliki ijazah pertama dan ke atas. Lebih 60 peratus rakyat di negara maju di Eropah memiliki ijazah pertama.

"Tenaga manusia yang berpendidikan tinggi ini adalah teras kepada masyarakat bermentaliti kelas pertama sebagaimana yang dihasratkan oleh negara. Justeru usaha untuk mewujudkan lebih banyak institusi pengajian tinggi awam perlu dipergiat lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Kepakaran

Menurut Muhd Ramadhan, langkah ke arah mewujudkan pendidikan tinggi kelas dunia memerlukan usaha-usaha menjalinkan hubungan dua hala dengan universiti-universiti berprestij di dunia seperti Oxford, Harvard, Yale dan al Azhar mengikut bidang kepakaran masing-masing.

"Konsep perkongsian bijak memberikan faedah yang besar kepada para pensyarah dan mahasiswa untuk bertukar pengalaman dan kepakaran demi kebaikan pengajian tinggi di Malaysia.

Katanya, mahasiswa sememangnya mengharapkan perubahan yang lebih positif dengan penubuhan kementerian baru ini agar ianya menjadi jambatan untuk mengeratkan lagi hubungan warga kampus dengan kerajaan.

"Semoga pengupayaan pendidikan tinggi dapat melahirkan melahirkan insan yang terbina dan pekerja mahir bagi memenuhi aspirasi negara.menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang," tambahnya.

Muhd Ramadhan juga menyarankan supaya sistem meritokrasi yang masuk tahun ketiga, turut dinilai semula keberkesanan perlaksanaannya kerana ia mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan persaingan sihat di kalangan pelajar.