Umno Kelantan berpeluang memenangi sekurang-kurangnya 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan memerintah semula negeri itu sekiranya kepemimpinan Umno negeri tidak teragak-agak memperlihatkan keyakinannya untuk menang.

Ketika menegaskan demikian Ketua Penerangan Umno Kelantan, Md Alwi Che Ahmad yakin pengundi akan memihak kepada Umno sekiranya, pengerusi Umno negeri, Datuk Mustafa Mohamad ( kiri ) hanya bertanding kerusi DUN sahaja.

Langkah itu, katanya, amat penting untuk memperlihatkan keyakinan dan kemampuan Umno untuk merampas semula Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, Mustapa telah bertanding bagi kerusi Parlimen Jeli dan pada masa yang sama turut bertanding di kerusi DUN Air Lanas.

Mustapa menang di kedua-dua kerusi tersebut. Bagi Parlimen Jeli, Mustapha menang dengan majoriti besar 7,353 undi, manakala beliau memenangi kerusi DUN Air Lanas dengan majoriti 799 undi.

Menurut Md Alwi, tindakan Mustapa bertanding di dua kerusi tersebut telah memberi gambaran yang Umno negeri tidak begitu yakin akan menang besar dalam piliharanraya umum kali ini.

Pengiraan semula

Sebaliknya, kata beliau, perkara itulah yang membolehkan PAS memenangi 24 kerusi DUN untuk terus memerintah Kelantan bagi sepenggal lagi.

Dalam pilihanraya umum yang baru lalu, BN Kelantan telah memenangi 21 kerusi DUN manakala PAS mendapat 24 kerusi DUN bagi terus memerintah Kelantan.

Bagaimanapun, keputusan itu hanya diketahui selepas pengiraan semula dibuat bagi sembilan kerusi DUN pada hari berikutnya.

Persaingan begitu hebat sehingga pada satu ketika Umno dan PAS masing-masing mendapat 21 kerusi. Malah, sebuah stesen TV telahpun mengumumkan bahawa BN berjaya merampas semula Kelantan daripada PAS.

Malah, 10 kerusi DUN di menangi sama ada oleh PAS atau BN dengan majoriti di bawah 500 undi manakala 11 lagi di bawah majoriti 1,000 undi.

Bagi kerusi Parlimen pula, BN berjaya memenangi lapan daripada 14 kerusi Parlimen. Md Alwi turut menang di kerusi Parlimen Ketereh dengan majoriti 2,888 undi.

Keyakinan

Md Alwi juga percaya tindakan PAS negeri meletakkan Husam Musa ( kiri ) dan Mohd Amar Abdullah - dua tokoh mudanya yang disebut-sebut akan dilantik menjadi menteri besar dan timbalan menteri besar - bertanding di kerusi DUN sahaja, telah menggambarkan keyakinan parti itu untuk menang.

Husam (DUN Kijang) dan Mohd Amar (Pancor), masing-masing menang dengan majoriti 2,882 undi dan 2,085 undi.

Keputusan yang sama, katanya, dapat dilihat di negeri jiran Terengganu yang berjaya dirampas semula oleh BN di mana Datuk Idris Jusoh yang telah dilantik sebagai menteri besar yang baru, juga hanya bertanding bagi kerusi DUN Jertih sahaja.

Md Alwi yakin tindakan Idris juga menjadi penyumbang utama kepada kejayaan BN Terengganu untuk memenangi 28 daripada 32 kerusi DUN serta kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau akur dengan pemilihan yang dibuat rakyat dan "kemungkinan keputusan di Kelantan itu sudah ditakdirkan begitu..."