Jawatankuasa Pemantau Program Khidmat Negara (PKN) yang ditubuhkan oleh Dewan Pemuda PAS pusat, hanya menerima tiga aduan setakat ini melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) mengenai gejala tidak sihat yang berlaku di beberapa kem PKM.

Menurut Ketua Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayob salah satu daripada aduan yang diterima melalui SMS itu ialah dakwaan mengenai tayangan video lucah di sebuah kem PKN di Perlis.

Aduan kedua, katanya ialah mengenai sesi ceramah di mana para peserta dikatakan telah diingatkan tentang bahayanya parti pembangkang di Malaysia.

Manakala satu lagi aduan adalah dakwaan tentang berlakunya pergaduhan yang membabitkan peserta PKM di Kem Port Dickson, kata Salahuddin ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Jawatankuasa tersebut diketuai timbalan ketua Pemuda PAS pusat, Idris Ahmad untuk memantau perjalanan PKN yang bermula pada 16 Februari lalu, bagi memastikan ianya tidak bersifat indoktrinasi politik atau berlakunya perkara maksiat.

Jawatankuasa yang dianggotai oleh beberapa individu yang berpengalaman dalam bidang ini, akan membuat pemantauan secara berterusan dengan dibantu oleh 1,500 anak PAS yang turut mengikuti PKN.

Pergaduhan

DPP juga telah mewujudkan pusat aduan PKN untuk menerima aduan daripada peserta dan para ibubapa yang beroperasi 24 jam sepanjang program PKN berjalan.

Sebarang aduan boleh dibuat melalui talian 03-61899296 atau faks 03-61869618. Aduan juga boleh dibuat melalui SMS melalui talian 019-2245171, 019-3500903, 019-9614331 dan 019-2366669.

Mengenai tindakan susulan terhadap aduan yang diterima itu, Salahuddin berkata oleh kerana jawatankuasa tersebut bukan sebuah pertubuhan yang diiktiraf, maka mereka tidak boleh menjalankan pemeriksaan di kem-kem terbabit.

Lagi pula, katanya, Pemuda PAS juga sibuk ketika menghadapi pilihanraya umum kesebelas yang baru berlalu.

Sementara itu, dua kem PKN di Port Dickson, ketika dihubungi malaysiakini baru-baru ini, menafikan berlakunya sebarang pergaduhan di kem mereka.

Cuti perayaan

Sementara itu, menurut Jabatan Khidmat Negara di Kuala Lumpur, peserta Cina yang mengikuti latihan PKN telah dibenarkan balik sempena menyambut perayaan Ching Ming hujung minggu ini.

Bagaimanapun, jurucakapnya berkata, mereka yang dibenarkan pulang mestilah diambil dan dihantar balik oleh ibubapa masing-masing.

Katanya, bagi peserta yang kediaman mereka mengambil masa kurang daripada enam jam perjalanan dari kem latihan, perlu balik semula ke kem latihan masing-masing pada hari yang sama.

Manakala peserta yang kediaman mereka mengambil masa lebih daripada enam jam perjalanan layak mendapat tiga hari cuti, termasuk masa perjalanan pergi-balik.