Pengguguran Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor daripada senarai kabinet baru telah mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya rombakan besar dalam barisan kepimpinan Umno Wilayah Persekutuan.

Tengku Adnan yang merupakan pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, tidak dilantik semula dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Abdullah Ahmad Badawi, walaupun memenangi kerusi Parlimen Putrajaya dalam pilihanraya umum yang baru lalu.

Sebelum ini beliau merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, perlantikan yang dibuat pada 2002 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir bersara pada bulan Oktober 2003 dan digantikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sebelum menganggotai kabinet, Tengku Adnan merupakan antara ahli perniagaan Melayu yang berjaya.

"Pengguguran beliau daripada Kabinet baru Pak Lah sudah tentu mengejutkan ramai pihak, apatah lagi selepas beliau memenangi kerusi Parlimen Putrajaya ...," kata seorang penyokongnya.

Dalam pilihanraya itu, Tengku Adnan telah mengalahkan calon Keadilan Abdul Rahman Othman dengan kelebihan undi sebanyak 3,546. Beliau mendapat 4,086 undi manakala Abdul Rahman mendapat 540 dan hilang deposit.

Dengan penggugurannya daripada kabinet dan ketiadaan Datuk Sulaiman Mohamad kerana tidak dicalon bertanding semula di kerusi Parlimen Titiwangsa, maka tumpuan kini tertumpu kepada ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Zulhasnan Rafique yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Muncul semula

Beliau memenangi kerusi tersebut dengan majoriti besar 19,669 undi. Zulhasnan mendapat 27,756 undi untuk menewaskan calon PAS, Abdul Rashid Hassan Basri yang mendapat 8,088 undi.

Tengku Adnan muncul dalam arena politik Umno apabila memenangi salah satu kerusi Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan parti pada tahun 1993. Bagaimanapun, beliau gagal mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan parti berikutnya.

Selepas tenggelam seketika, Tengku Adnan muncul semula apabila beliau dilantik sebagai setiausaha kerja Umno pada 23 Jun 1999.

Sejak itu, karier politik beliau meningkat secara mendadak, apabila dilantik sebagai senator sebelum menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Menteri pada awal tahun 2001 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tengku Adnan kemudiannya dilantik mengetuai Umno Wilayah Persekutuan dan pada tahun 2002 dilantik sebagai menteri penuh di di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, sejurus sebelum pilihanraya umum yang baru lalu, timbul spekulasi mengenai kedudukan Tengku Adnan di dalam kerajaan dan Umno apabila beliau melepaskan jawatannya sebagai setiausaha kerja Umno, yang disandangnya selama empat tahun.

Buka ruang

Beliau memberi alasan perlu melepaskan jawatan tersebut untuk memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai seorang menteri dan pengerusi Umno Wilayah Persekutuan.

Turut mendapat perhatian ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil yang kini merupakan naib ketua Wanita Umno Malaysia.

Beliau berjaya mempertahan kerusi Parlimen Lembah Pantai dengan majoriti 15,288 undi. Shahrizat memperolehi 26,474 undi manakala calon Keadilan, Sanusi Osman mendapat 11,186 undi.

Seorang lagi muka baru dalam arena politik Umno Wilayah Persekutuan ialah Datuk Astaman Abdul Aziz yang memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa, selepas menewaskan calon PAS dengan majoriti 11,815 undi.

Bagaimanapun, kata, beberapa pemimpin Umno Wilayah Persekutuan berkata peluang untuk Zulhasnan untuk menaiki hirarki parti amat cerah sekarang.

Saman

"Perlantikannya sebagai timbalan menteri juga mencerminkan kepercayaan pucuk pimpinan tertinggi Umno terhadap kemampuannya serta membuka ruang yang lebih luas untuk beliau meningkat dalam karier politiknya," kata seorang pemimpin Umno bahagian.

Ada spekulasi yang mengatakan pengguguran Tengku Adnan adalah berkaitan dengan satu kes saman terhadap syarikatnya.

Sebelum ini, malaysiakini melaporkan, sebuah syarikat pembinaan Ehsan Bina telah mengemukakan saman terhadap syarikat Sinaran Klasik yang dikaitkan dengan Tengku Adnan pada 12 Feb lalu kerana didakwa gagal menjelaskan RM943,717.87 sebagai bayaran bagi sebahagian daripada kerja pembinaan tiga blok bangunan hotel yang telah disiapkan di Kuala Lumpur.

Sinaran Klasik, melalui syarikat arkitek Prisma Athira Architect, telah melantik Ehsan Bina sebagai kontraktor projek tersebut dan kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian pada 28 Jun 2000.

Menurut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tengku Adnan memegang 57.5 peratus atau 5,175,000 ekuiti dalam syarikat berkenaan. Dua lagi pemegang saham ialah adiknya Tengku Rethwan (3.5 peratus atau 3,510,000 saham) dan Tan Chee Sing (39 percent or 3,510,000 saham).