Keluarga mangsa pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang didakwa diraba dan dipeluk sewaktu mendapatkan rawatan perubatan di Kem PLKN di Seri Impian Sungai Bakap, Pulau Pinang minggu lepas, tidak berhasrat untuk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Menurut bapa pelatih tersebut, keluarganya berpuashati dengan tindakan pihak berkuasa kem berkenaan memecat kakitangan sementara terbabit yang cuba mengambil kesempatan sewaktu merawat anaknya yang mengikuti program PLKN di kem tersebut.

"Perkara ini telah selesai ... pengurus pentabiran kem tersebut, Encik Lee Eng Koi juga telah meminta maaf atas kejadian tersebut dan telah memecat pekerja tersebut.

"Saya rasa cukuplah dengan tindakannya meminta maaf itu....dan perkara ini telah diselesai," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Sebelum ini, pelatih berkenaan pergi mendapatkan rawatan bagi kecederaan di kakinya di mana pekerja itu telah menggunakan bahasa berunsur seksual terhadapnya.

Kemudian pada pagi Rabu lalu, sewaktu pergi untuk mendapat rawatan lanjut, mangsa mendakwa pembantu perubatan yang sama telah meraba dan memeluk mangsa dan seorang lagi rakan yang menemaninya.

Mangsa kemudiannya membuat aduan kepada pengurus pentadbiran kem tersebut, Lee Eng Koi.

Tidak ingin

Bapa pelatih terbabit memberitahu malaysiakini yang beliau tidak akan mengungkitkan lagi kejadian tersebut dan tidak akan melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

Beliau juga agak keberatan untuk bercakap panjang ketika ditanya mengenai kejadian tersebut kecuali untuk mengulangi ianya telah selesai dan beliau tidak akan membuat aduan polis mengenainya.

Malaysiakini

turut menghubungi Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengenai perkara tersebut dan menurut beliau, kejadian ini telah dapat diselesai dengan baik.

"Keluarga mangsa tidak ingin mengambil sebarang tindakan lanjut, termasuk melaporkannya kepada pihak polis... kami akan menghormati keputusan beliau," tambah Chow.

Sebelum ini, keluarga terbabit telah melaporkan kejadian itu kepada Chow, yang kemudiannya menasihatkan mereka supaya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.