Engkar lompat tupai punca pergaduhan di Kem Rembau
Bapa seorang peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Ulu Pari, Kampung Gadong, Rembau, kesal kerana anaknya dan tujuh lagi rakannya telah didenda secara memalukan selepas didapati mengambil makanan ringan sewaktu menghadiri ceramah di kantin kem tersebut pada malam Rabu lalu.
Bapa seorang peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Ulu Pari, Kampung Gadong, Rembau, kesal kerana anaknya dan tujuh lagi rakannya telah didenda secara memalukan selepas didapati mengambil makanan ringan sewaktu menghadiri ceramah di kantin kem tersebut pada malam Rabu lalu.
Menurut Ng Tiam Soon (
kiri
), anaknya dan rakan-rakannya dipaksa melakukan gaya tupai melompat di hadapan kira-kira 500 peserta lain walaupun perbuatan itu boleh menjatuhkan maruah mereka kerana mereka bukanlan anak-anak kecil yang boleh dilayan sedemikian.
"Anak saya sudah remaja dan cara denda sedemikian seolah-olah menjatuhkan maruah mereka. Kerana itulah mereka malu untuk melakukannya di hadapan khalayak ramai.
"Ini kerana seorang jurulatih lelaki telah menggelarkan mereka sebagai lapan 'ekor' tupai (mengikut warna pakaian mereka) akan mengadakan pertunjukan tupai melompat," tambah Ng.
Katanya, apabila mereka enggan melakukannya, seorang jurulatih perempuan mengambil sebuah kerusi plastik dan berdiri di atasnya sambil mengarahkan mereka supaya melakukan lompat tupai.
Bagaimanapun, kata Ng, anaknya enggan melakukannya, tetapi sebaliknya bersedia melakukan senam tubi sebagai hukuman ke atasnya.
Baldi plastik
"Lagi pula, anak saya (Ng Han Shen,
gambar
) memberitahu jurulatih tersebut yang dia adalah manusia bukan tupai," katanya.
Menurut, apabila anaknya tidak memperdulikan arahan tersebut, jurulatih perempuan itu telah bertindak menarik kolar baju anaknya tetapi anaknya sempat mengelak.
Bagaimanapun, kata Ng, para peserta lain yang berada di bahagian belakang, meluru ke depan kerana menyangka anaknya mahu memukul jurulatih perempuan tersebut.
"Mereka bertindak menolak anak saya ke depan. Mereka kemudian mengejar anak saya sambil memukulnya dengan baldi plastik dan kerusi plastik. Salah seorang daripada tujuh rakannya tadi cuba datang menolong, tetapi turut dipukul," kata Ng.
Menurutnya, mereka yang memukul anaknya itu terdiri daripada anggota kumpulan A, B dan C. Bagaimanapun, anggota kumpulan anaknya - Kumpulan D. Anak Ng dipercayai adalah ketua bagi kumpulan tersebut.
"Saya tidak puas hati dengan cara pentadbiran kem tersebut kerana semasa kejadian tersebut berlaku, hanya terdapat kedua orang jurulatih tersebut dan mereka gagal mengawal keadaan.
Berikutan itu, kata Ng, beliau telah membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpa anaknya itu pada hari Khamis lalu di Balai Polis Plentong, Johor Bahru.
Takut
Menurut beliau, anaknya masih dalam tempoh cuti sakit sehingga Ahad depan. Bagaimanapun, beliau masih menimbang sama ada mahu membenarkan anaknya balik semula ke kem tersebut.
Malaysiakini
juga menghubungi seorang lagi peserta terbabit - Hu Wei Ken - yang kini sedang berihat di rumahnya selepas mendapat cuti sakit.Katanya, apabila mengingat semula kejadian itu, beliau menjadi takut dan tidak mahu lagi kembali semula ke kem tersebut kerana bimbang dipukul lagi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah kem tersebut Mejar (B) Isnin Zainal, ketika ditanya kejadian tersebut, telah meminta malaysiakini supaya membaca laporan berita berkenaan di akhbar Utusan Malaysia Jumaat lalu.
Katanya, apa yang berlaku, semuanya telah dilaporkan oleh akhbar berkenaan dan enggan mengulas lanjut.
Bagaimanapun, selepas menyemak akhbar Utusan Malaysia keluaran Jumaat lalu, ianya hanya menyiarkan laporan empat perenggan sahaja, yang menyebut kejadian itu berlaku kerana seorang peserta enggan mematuhi arahan jurulatih supaya jangan bising dan mengunyah makanan ringan sewaktu menghadiri ceramah di situ.
Ambil tindakan
Menurut laporan akhbar itu lagi, setelah empat kali amaran diberikan, peserta berkenaan dipanggil oleh jurulatih terbabit untuk dikenakan tindakan.
Bagaimanpun, menurut laporan itu yang memetik Pengarah Kem tersebut, Mahmud Embi, kemudiannya berlaku cabar-mencabar antara jurulatih dengan peserta berkenaan sehingga mencetuskan pergaduhan.
Menurutnya, beberapa peserta lain yang bersimpati mempertahankan jurulatih dan keadaan ini mencetuskan sedikit huru hara.
Sementara itu, Mejar (B) Isnin berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily kerana didakwanya telah melaporkan berita yang tidak benar mengenai kejadian tersebut.
Selain menyiarkan laporan tersebut, akhbar berkenaan juga turut menyiar gambar yang menunjukkan kesan akibat dipukul di bahagian kepala anak Encik Ng.
Sementara itu, Beh Lih Yi pula melaporkan, pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham hari ini berkata beliau telah dilarang melawat kem Teluk Rubiah Manjung di Perak selepas diberitahu mengenai berlakunya pergaduhan di kem tersebut.
Dilarang masuk
Katanya, beliau pergi ke kem tersebut pagi tadi bersama Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan.
"Pihak pengurusan kem tersebut melarang kami masuk tetapi setahu kami, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor (Datuk Dr Zambry Abd Kadir) dari Barisan Nasional dibenar melawat kem itu pagi tadi," katanya ketika dihubungi.
Menurut Ngeh, pihak pengurusan memberitahunya yang beliau perlu terlebih dahulu mendapat satu surat kebenaran lawatan dari ahli Parlimen Lumut, Kong Cho Ha.
Mengenai kejadian pergaduhan tersebut, Ngeh berkata, beliau diberitahu oleh ibubapa peserta di kem tersebut bahawa kejadian itu di kem itu minggu lalu dan semalam.
Beliau mendakwa, dalam pergaduhan semalam, tiga orang peserta telah mengalami kecederaan tetapi tidak dihantar ke hospital.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.