Umno: Kita lebih selesa jadi pembangkang di Kelantan
Umno Kelantan tidak perlu membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk 'membeli' Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS supaya menyertai parti itu untuk membolehkan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan negeri yang baru.
Umno Kelantan tidak perlu membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk 'membeli' Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS supaya menyertai parti itu untuk membolehkan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan negeri yang baru.
"Sebenarnya kita amat selesa menjadi pembangkang yang kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ... apa perlunya beli dua tiga Adun PAS untuk tubuh kerajaan negeri yang lemah ... sepertimana kerajaan PAS sekarang,"' kata jurucakap Umno Kelantan.
Sebaliknya, beliau yakin Adun PAS itu sendiri akhirnya akan datang menawar diri untuk menyertai Umno kerana masalah dalaman parti asalnya.
"Memang sudah menjadi rahsia umum di Kelantan bahwa adanya pergeseran hebat di kalangan penyokong rapat pemimpin-pemimpin PAS negeri seperti Husam Musa, Takiyuddin Hassan dan Nik Aziz Nik Mat sendiri," kata kepada
malaysiakini.
Katanya, walaupun BN gagal merampas semula Kelantan, tetapi pencapaiannya memenangi 21 kerusi negeri adalah hasil kerja kuat Umno negeri sejak tewas kepada PAS dalam pilihanraya umum 1990.
Dalam pilihanraya umum kesebelas bulan lalu, PAS memenangi 24 kerusi DUN untuk terus memerintah Kelantan dengan majoriti mudah.
Pelawaan
Berikutan itu, Bendahari Umno Kelantan, Dr Awang Adek Hussin telah membuat pelawaan terbuka kepada Adun PAS untuk menyertai Umno bagi menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang baru di Kelantan.
"Apa yang kita perlu buat sekarang ialah untuk bekerja lebih kuat lagi ... daripada membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membeli Adun PAS, lebih baik kita gunakan wang tersebut untuk membina rumah untuk golongan miskin di Kelantan," tambah jurucakap tersebut.
"Dengan itu, besar kemungkinan sokongan rakyat kepada BN semakin bertambah dan kita akan berjaya merampas Kelantan daripada PAS dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.
Ahad lalu, Adun PAS di Kemuning Zakaria Yaakob (
gambar
)telah membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendakwa dia telah ditawarkan wang tunai RM4 juta supaya meninggalkan PAS.
Jurucakap Umno Kelantan tersebut menyifatkan dakwaan sesetengah Adun PAS yang mereka ditawarkan wang berjuta-juta ringgit supaya meninggalkan parti itu sebagai "gimik politik" pemimpin PAS semata-mata untuk mengalih pandangan rakyat daripada bertanyakan punca sebenar kekalahan parti itu di Kelantan".
"Jelaslah, semua ini adalah rekaan pemimpin PAS sendiri yang mungkin bertujuan untuk menimbulkan kesangsian di kalangan ahli Umno terhadap barisan kepimpinan Umno Kelantan pimpinan Mustapa Mohamad," tambahnya.
Bagaimanapun, beliau yakin 'tipu helah' pemimpin PAS itu tidak akan berjaya mempengaruhi ahli-ahli Umno Kelantan kerana mereka sudah lama "tahu hati budi Mustapha."
Sikap tamak
Sebenarnya, kata beliau, PAS tewas di banyak kerusi negeri akibat daripada sikap 'tamak' parti itu yang dilihat telah mengabaikan Kelantan dan beriya-iya benar untuk menawan Kedah, Perlis, Pahang dan Selangor.
"Sepatutnya, PAS perlu berusaha untuk mengekalkan kuasanya di negeri-negeri yang telah diperintahnya. Ini tidak, mereka begitu ghairah untuk meluaskan pengaruh ke negeri-negeri lain. Akhirnya, bak kata pepetah Melayu 'Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'," katanya.
Menurutnya lagi, prestasi baik BN Kelantan dalam pilihanraya umum kali ini juga sudah diduga memandangkan beberapa perkembangan positif yang tidak pernah berlaku sejak PAS memenangi Kelantan pada 1990.
"Saya sendiri hairan, kita naikkan poster Umno dan BN serta slogan-slogan di merata tempat di Kelantan, tetapi PAS kelihatan seperti tidak kisah untuk 'melawan' poster kita.
"Malah, jumlah ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh PAS Kelantan juga amat berkurangan jika dibandingkan dengan pilihanraya umum sebelum ini," katanya.
Menurut beliau lagi, keadaan itu memperlihatkan betapa PAS begitu yakin di Kelantan, sehinggakan tenaga parti itu banyak tertumpu di Kedah, Perlis, Pahang dan Selangor.
Selain itu, katanya, program-program anjuran Umno di Kelantan juga telah mendapat sambutan hebat daripada kakitangan kerajaan, khususnya para guru, yang sebelum ini dipercayai memihak kepada PAS.
"Tidakkah pemimpin PAS Kelantan dapat melihat ada ahli-ahli PAS yang meninggalkan parti itu dan menyertai Umno?
"Daripada mengambil berat terhadap perkembangan tersebut, pemimpin PAS masih terus dibuai keyakinan mampu bertahan di Kelantan dan Terengganu," ujar jurucakap Umno Kelantan tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.