GPMS: Perkenal sesi pra-Khidmat Negara
Kerajaan disaran supaya memperkenalkan sesi pra-Khidmat Negara bagi memberi pendedahan awal mengenai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kepada pelajar seawal umur 12 tahun sebagai persediaan menyertai PLKN apabila mereka mencapai umur 18 tahun.
Kerajaan disaran supaya memperkenalkan sesi pra-Khidmat Negara bagi memberi pendedahan awal mengenai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kepada pelajar seawal umur 12 tahun sebagai persediaan menyertai PLKN apabila mereka mencapai umur 18 tahun.
Ketika mencadangkan demikian, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, pelajar mudah dibentuk ketika di peringkat umur sedemikian.
"Di peringkat umur semuda itu, lebih mudah bagi membentuk disiplin dan menyemai akhlak yang murni di kalangan pelajar berkenaan," katanya ketika dihubungi malaysiakini .
Menurutnya, ia boleh dilakukan dalam penganjuran aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk golongan pelajar berumur 12 tahun termasuk menganggotai pasukan beruniform seperti kadet remaja dan kadet polis.
Manakala sesi LPKN sebenar pula, tambahnya, perlu menekankan kepada aspek psikologi dan emosi remaja supaya pelaksanaan program itu dapat mencapai matlamat kerajaan untuk melahirkan golongan belia yang berdisiplin dan berakhir mulia.
Beliau bagaimanapun tidak bersetuju cadangan ahli Parlimen Batu, Ng Lip Yong sebelum ini, supaya pelajar mengikuti program PLKN ketika berumur 12 tahun.
Menurut Suhaimi, ini kerana sesi sebenar PLKN turut membabitkan latihan fizikal yang menurutnya tidak sesuai bagi pelajar berumur 12 tahun.
Kaji semula
Sebelum ini, Ng telah dipetik oleh akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily sebagai berkata lebih mudah untuk membentuk pelajar ketika berusia sedemikian, berbanding dengan mereka yang mencapai umur 18 tahun kerana masing-masing sudah mempunyai pandangan sendiri.
Lagi pula, kata Suhaimi, tidak elok jika pelajar semuda itu dipisahkan daripada keluarga mereka di samping ianya juga boleh mengganggu proses pembelajaran di sekolah.
Manakala, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP), Salahuddin Ayob pula menggesa pihak kerajaan supaya mengkaji semula kesesuaian umur remaja yang dipilih menyertai PLKN.
"Majlis Perbandaran Khidmat Negara (MPKL) perlu mengambil pandangan pakar profesional dalam menentukan lingkungan umur remaja yang sesuai untuk menyertai PLKN yang tidak masalah sepertimana yang berlaku sekarang.
"Kita berharap kerajaan mengundang badan-badan bukan kerajaan (NGO), para aktivis dan wakil masyarakat untuk berbincang secara telus bagi mencari penyelesaian bersama terhadap masalah-masalah tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen DAP dari Batu Gajah, Fong Po Kuan pula berpendapat faktor umur bukan punca kepada masalah-masalah yang dihadapi di kem-kem PLKN di seluruh negara.
"Kalau kita mengambil pelajar berumur 12 tahun untuk mengikut program tersebut, pergaduhan di kalangan peserta juga boleh berlaku sepertimana sekarang.
"Puncanya utamanya adalah sistem pendidikan di Malaysia yang sememangnya bermasalah, kerana kejadian pergaduhan, gangguan seksual dan kes curi, juga berlaku sewaktu mereka di alam persekolahan," tegasnya.
Masalah
Di samping itu, katan Fong, pelaksanaan PLKN secara tergesa-gesa menyebabkan timbul pelbagai masalah di kem-kem latihan terbabit.
Selain pelaksanaannya yang tidak sistematik, beliau berkata, keadaan juga tidak terkawal sehingga menyebabkan timbul perselisihfaham antara jurulatih dengan peserta sehingga berlaku pergaduhan.
"Oleh kerana umur jurulatih PLKN juga lebih kurang sebaya dengan peserta, menyebabkan tidak wujud rasa hormat menghormati antara satu sama lain," katanya.
Manakala Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pula berkata pihaknya pernah menyarankan supaya program PLKN dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah dan diperkenalkan untuk pelajar tingkatan 4 dan 5.
Beliau yang juga ahli Parlimen Tanjong berkata mereka boleh mengikuti latihan tersebut sewaktu cuti sekolah sepanjang tempoh dua tahun persekolahan mereka itu.
Sementara itu, Setiausaha Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Ahmad Tarmizi Sulaiman pula berpendapat cadangan untuk memperkenalkan sesi pra-Khidmat Negara bagi pelajar berusia 12 tahun itu, perlu mendapat pandangan pelbagai pihak, terutama ibu bapa.
Bagaimanapun, katanya, beliau secara peribadi berpendapat pelajar berumur 12 tahun terlalu muda dan mungkin sukar untuk memberikan kefahaman kepada mereka.
Mengenai masalah yang timbul sepanjang pelaksanaan PLKN, Ahmad Tarmizi berkata ia mungkin berpunca daripada pengambil jurulatih yang tidak berpengalaman dan lokasi kem latihan yang tidak selesa, serta pengambilan peserta yang terlalu ramai.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.