Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz dakwa ada banyak rumah urut di Kedah
Diterbitkan:  Apr 22, 2012 1:04 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

MP Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir hari ini mendakwa banyak rumah urut serta pusat karaoke yang wujud "umpama cendawan lepas hujan" di Kedah sejak negeri itu berada di bawah pentadbiran PAS.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia hari ini, Mukhriz juga berkata jumlah pusat maksiat itu meningkat empat kali ganda semenjak pentadbiran PAS.

"Kalau parti DAP yang memerintah mungkinlah kita boleh faham walaupun ia sebenarnya tidak boleh diterima namun kerajaan yang memerintah Kedah adalah PAS," katanya yang "hairan" dengan keadaan itu.

Beliau juga mendakwa menteri besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak telah memberi jaminan untuk menutup pusat berkenaan dalam tempoh sebulan apabila isu tersebut dibangkitkan pada Ramadan lalu.

"Namun selang dua tiga hari, beliau menarik balik kenyataan ini atas alasan menghormati rakan-rakan bukan Islam," kata anak lelaki bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu lagi.

Beliau juga mempertikai kenyataan tersebut dengan menimbulkan persoalan sama ada jumlah orang bukan Islam di negeri itu juga meningkat empat kali ganda berbanding sebelum ini.

Azizan pada Julai lalu mengarahkan semua pusat hiburan di negeri itu menghentikan operasi dalam tempoh bulan Ramadan.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan MCA yang berang kerana langkah itu didakwa melanggar hak asasi dan hak berperlembagaan orang bukan Islam.

Azizan mempertahankan pengharaman berkenaan dengan menjelaskan bahawa langkah itu mengikut Enakmen Hiburan & Tempat-tempat Hiburan 1997 negeri Kedah.

Kerajaan Kedah bagaimanapun akur dengan bantahan daripada pengusaha dan pemimpin Pakatan Rakyat dengan kompromi supaya pengusaha memastikan orang Islam tidak menggunakan pusat berkenaan.

Kerajaan Kedah juga menetapkan supaya pusat berkenaan ditutup setiap Khamis malam antara 6 petang hingga 2.30 petang Jumaat.

ADS